Manifesto Negara Kebajikan PAS (2)
11:42:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Dengan ini PAS menyeru sokongan dan penggemblengan tenaga seluruh lapisan masyarakat; parti-parti politik, kakitangan kerajaan, badan-badan bukan-kerajaan (NGO), wanita, golongan pemuda serta seluruh lapisan rakyat, merentasi pelbagai anutan agama, bangsa dan budaya, yang turut berasa bertanggungjawab terhadap nasib mereka serta masa depan negara yang dicintai, supaya bersama membuat perubahan bagi:

Membela kebajikan rakyat dan kepentingan negara melalui pengurusan ekonomi yang bijak dan pembangunan seimbang, mesra-manusia dan mesra-alam.

Melindungi keselamatan seluruh lapisan rakyat khususnya kaum wanita dan kanak-kanak, dari ancaman jenayah.

Memulihkan maruah dan integriti negara dengan membenteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Mempertahankan keluhuran dan kedaulatan undang-undang dengan mengembalikan kewibawaan dan integriti institusi kehakiman.

Mengembalikan amalan demokrasi tulen dan pilihanraya bebas, adil dan bersih.

Menamatkan keangkuhan dan penguasaan kuasa mutlak Umno/BN di parlimen.

Kesemua matlamat ini akan hanya dapat kita capai dengan melakukan perubahan dan pilihan bijak dalam pilihanraya umum ke-12 ini. Marilah sama-sama kita memainkan peranan kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan mempastikan wujud unsur ’semak-imbang’ yang berkesan dalam amalan demoikrasi di negara ini.

Anda Mampu Mengubahnya!



Teras Pertama

Menyedari segala kepincangan pemerintahan yang ada kini, khususnya amalan rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan integriti dan kewibawaan institusi-institusi penting dalam kerajaan, maka Manifesto ini menawarkan:

Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih:

Menginstitusikan dan memperkasakan amalan ‘Pemisahan Kuasa’ Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif, supaya amalan Demokrasi Berfungsi dan Berkesan serta tidak dicerobohi dan dipintas oleh pihak Eksekutif.

Menegaskan penghayatan Islam sebagai Ad-Deen bagi ummat Islam di negara ini.

Menjamin perlaksanaan peruntukan-peruntukan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyegerakan kelulusan ’Rang Undang-Undang Hak Mendapatkan Maklumat’ bagi memperkasa rakyat yang bermaklumat.

Memperkukuh agensi-agensi’Pemantau’ (Watchdog) seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR), Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan lain-lain. dengan sumber dan mandat supaya tidak terbelenggu kepada mana-mana pihak dan terus bertanggungjawab kepada Parlimen.

Melindungi kedudukan Pelapor atau ”Whistleblowers” dengan jaminan kerahsian demi mempertahankan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Meminda dan/atau menghapuskan Akta-Akta Zalim yang menyekat Hak dan Kebebasan Rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Polis, Akta Percetakan dan Penerbitan (PPA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Menghapuskan Akujanji di kalangan kakitangan kerajaan.

Menjamin sistem Pilihanraya yang Bebas, Adil dan Bersih dengan reformasi sistem dan proses Pilihanraya secara menyeluruh seperti yang dituntut oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH).

Meningkat amalan dan urus-tadbir kerajaan dengan berpandukan amalan terbaik (Best Practice) dalam jabatan-jabatan awam, agensi-agensi serta syarikat yang berkaitan kerajaan supaya menjauhi rasuah dan ketirisan dalam sistem penghantaran awam khususnya dalam pembekalan awam (public procurement) projek mega-mewah melalui tender terbuka dengan penubuhan Badan Tender Bebas di bawah kuasa Parlimen.

Memastikan masjid dimakmurkan oleh masyarakat tempatan dan tempat-tempat ibadat tidak boleh dimusnahkan tanpa perundingan dan kelulusan masyarakat setempat.

Menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman di bawah Parlimen yang bertanggungjawab melantik Hakim-Hakim berdasarkan merit dan integriti serta menambahbaik pengurusan bagi meningkatkan kewibawaan institusi Kehakiman dengan menguatkuasakan etika kehakiman yang terbaik..
|
This entry was posted on 11:42:00 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Komentar: