Manifesto Negara Kebajikan PAS (3)
11:43:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Teras Kedua


Menginsafi kedudukan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil mahsul seperti minyak, kayu-kayan serta hasil galian, sementara sektor pembuatan dan perkhidmatan mampu diperkembangkan, negara kini kehilangan daya-saing bahkan semakin buruk dikacamata masyarakat bisnes antarabangsa. Ini mesti dibaikpulih segera dengan usaha membanteras segala kepincangan, rasuah dan kronisme yang telah menggagalkan pencapaian DEB dan matlamat dasar-dasar pembangunan yang lain. Maka Manifesto PAS ini menawarkan:

Pengurusan Berhemat (Pruden) Kekayaan Negara dengan polisi berikut:

Meletakkan PETRONAS di bawah seliaan Parlimen (dan bukan lagi di bawah Perdana Menteri) seperti trend terkini dibeberapa buah negara atas perkiraan ketelusan dan pertanggungjawaban.
Mempastikan harga petrol dan disel kekal ’menasabah’ dengan pendekatan ’subsidi’ bagi menangani ’inflasi’ harga barang keperluan dan kos perkhidmatan.

Menyusun kembali prioriti pembangunan supaya ’pertumbuhan’ bukan sahaja akibat dari kegiatan pembinaan dan infrastruktur mega-mewah, tetapi mestilah menepati dan selaras dengan strategi dan prioriti pembangunan mapan sementara menjana pekerjaan dan mengawal inflasi.

Menumpukan kekayaan hasil minyak akan diutamakan untuk pembangunan potensi insan serta penyelidikan dan pembangunan R&D termasuk sumber tenaga alternatif untuk menggantikan sumber petrol dan gas.

Merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dalam kaum dan antara kaum dengan menekankan aspek pendidikan dan peningkatan sumber pendapatan bagi meningkatkan jumlah pendapatan dan keupayaan keluar dari garis kemiskinan serta meningkat mobiliti sosial mereka.

Menekankan program pembasmian kemiskinan mengikut ’Keperluan’ di kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira ras atau kaum.

Melebarkan golongan kelas menengah dalam semua kaum bagi memperkukuhkan ekonomi dengan meningkatkan kuasa membeli serta perbelanjaan (juga pelaburan) domestik dan kestabilan perimbangan antara kaum.



Teras Ketiga


Menyedari hakikat bahawa negara telah terjerumus dalam bahaya-bencana jenayah dengan pelbagai kejadian jenayah kekerasan seperti culik, bunuh, rogol, rompak dan menyamun secara bersenjata atau tanpa senjata, maka Manifesto PAS menawarkan:

Jaminan Keselamatan Nyawa, Kehormatan dan Harta Benda dengan Membenteras Jenayah dengan polisi dan komitmen berikut:

Menubuhkan segera dan memperkasakan Suruhanjaya Bebas Salah-Laku Polis dan Komplain –IPCMC serta menolak Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) yang membelakangi 125 cadangan-cadangan Suruhanjaya di Raja Pembaikan Polis.

Menjadikan PDRM sebuah Pasukan Keselamatan yang profesional, mesra-rakyat, bebas dari pengaruh pihak Eksekutif dan tekanan orang politik serta membantu pihak Kehakiman bagi melaksanakan penyiasatan dengan profesional dan berkesan sehingga mampu membenteras jenayah dan menjamin keselamatan rakyat.

Mengangkat amalan Integriti dan Amalan Terbaik (Best Practise) dalam semua urus-tadbir kementerian, agensi kerajaan khususnya pihak keselamatan seperti PDRM dengan mempastikan, antara lainya, pengambilan pegawai dan promosi ke kedudukan yang tinggi mesti memilikki keupayaan dan integriti yang mantap.

Memerangi amalan Rasuah, Kronisme dan penyalahgunaan kuasa dengan pendekatan secara Menyeluruh (integrated) dengan ajaran Agama, bimbingan Moral bagi menangani punca rasuah: kerakusan dan ketamakan yang digalakkan dengan urus-tadbir yang pincang serta tidak telus. Pendekatan Undang-undang sebagai hukuman yang benar-benar menakutkan dan meninggalkan kesan ’gerun’ atau ’deteren’ serta takut kepada ancaman Allah dan hukuman pihak penguasa wajar diperkasakan.
|
This entry was posted on 11:43:00 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Komentar: