Jalur Van Allen
10:56:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Manusia itu antaranya cirinya adalah bersikap suka mencabar dan pantang dicabar. Apabila kita dilahirkan ke alam dunia yang sarat dengan cabaran ini, sebenarnya kita telah berjaya dalam satu alam perlumbaan. Ya, kita cuba bayangkan. Dalam 250 juta sperma yang yang dipancutkan, hanya 1000 sahaja yang berjaya menghampiri ovum. Di akhir perjalanan selama lima minit ini, ovum yang bersaiz setengah batir garam ini hanya membenarkan sebutir unit sperma sahaja menembusinya, dan itulah kita.

Fastabiqul khayrat merupakan gagasan untuk manusia yang bersifat daya saing ini. Daya saing merupakan satu sikap yang baik, malah nabi sangat menggalakkan daya saing bagi merebut ketinggian ilmu dan kekayaan harta sebagai pelaburan untuk Islam. Harimau tidak mampu mengejar sang kijang yang mampu berlari 80 kilometer sejam selama beberapa jam. Sejenis burung camar mampu terbang berpuluh-puluh ribu kilometer dalam masa enam bulan. Sang unta mampu berjalan jauh di padang pasir tanpa minum dan mampu menaham debu pasir panas daripada memasuki matanya.

Inilah arena perlumbaan. Imaginasilah! Tenaga yang terpancar dalam letupan di matahari bersamaan dengan 100 billion atom yang digugurkan di Hiroshima. Namun atmosfera dan Jalur Van Allen mencabar kekuatan matahari yang berkuasa ini, lalu melindungi bumi daripada kesan haba yang sangat panas ini. Lapisan magnetosfera yang terbentuk daripada medan magnet bumi melindungi bumi daripada ancaman meteor, meteoraid, asteroid, sinaran zarah dan zarah-zarah yang berbahaya.

Musa bangkit di celah-celah cengkaman kuku besi Fir’aun dan Haman. Kekuasaan Fir’aun dan kelicikan politikus Haman tidak berjaya menghalang kebijaksanaan Musa dan kesaksamaan Harun untuk menumbangkang kerajaan mereka. Ibrahim juga menggunakan kepintaran akalnya untuk mengubah gelombang kekejaman Namruz. Malah Muhammad, pertama kali seorang pemimpin satu kabilah memerhatikan sosok tubuhnya, ia terus terkesima dan dapat merasakan Muhammad mampu menerajui dunia. Semangat berdaya saing dan mencabar secara baik mengalir deras dalam jiwa pemuda-pemuda Rabbani ini sehingga mereka berjaya memahat satu sejarah baru dalam dunia ini.

Kata seorang panglima Cina, ”Bila bergerak, bergeraklah sepantas angin”. Bagi ahli seni bela diri, mereka pasti akan mengetahui pesan Raja Kungfu Bruce Lee agar melakukan sesuatu perkara dengan pantas. Kepantasan menjadikan Brazil kekal sebagai Raja Samba yang digeruni dalam dunia bola sepak. Kekuatan inilah yang menjadikan Lin Dan sebagai pemain badminton terkemuka dunia yang sukar digugat. Malah, bagi yang mendalami sunnah, mereka mendapati nabi berjalan pantas kerana mengejar masa.

Jangan disangka gunung yang tampak tetap itu tidak bergerak, kerana sesungguhnya ia bergerak (Al-Naml: 88). Sang singa yang berkurung dalam gua akan kelaparan jika ia tidak keluar mendapatkan buruan. Panah tidak akan mengena sasaran selagi mana ia tidak dilepaskan daripada busurnya. Air akan busuk jika tidak mengalir. Laut ada pasang surutnya. Kata sarjana, ”Sesuatu yang tetap berlaku adalah perubahan”.

Fastabiqul khayrat adalah gagasan samawi. Ia datang sebagai satu cabaran dan seruan daripada Tuhan yang menciptakan kita. Dalam kalam-Nya yang lain, Dia menyeru “Dan beramallah kamu, kelak Allah memerhatikan kamu, begitu juga Rasul dan orang yang beriman”. Jiwa-jiwa perkasa tidak akan mudah mengeluh dan mengaduh malah ia sentiasa bangkit dan bangkit, menatang semangat yang bergelora dan jiwa yang membara. Golongan sufi menyebut, “Jiwa yang bersinar dan keinginan yang menyala-nyala”. Lalu roh yang terpandu dengan gagasan Fastabiqul khayrat melaungkan slogan, “Tuhanku, Engkaulah yang aku tuju dan redha-Mu lah yang aku tuntut”.

Arena pertarungan alami ini bukanlah untuk yang berjiwa lemah dan rapuh. Ia mesti untuk orang yang tidak mudah patah semangat. Bukankah Allah pernah berkata bahawa bumi adalah warisan untuk orang-orang soleh? Orang soleh sentiasa seolah-olah mendengar orang berseru kepada-Nya, ”Kita punya tangan, kita punya tanggungjawab. Kita punya masa depan, kita mesti beramal”. Bahkan seruan ”Jangan kamu berasa lemah dan jangan bimbang, sedangkan kamu yang tertinggi jika kamu beriman”.

Bangsa nomadik Monggolia membina tamadun di atas keruntuhan empayar-empayar besar sehingga meranapkan keunggulan bangsa lagenda 1001 malam. Muhammad bin Murad al-Fatih berusaha membuka kota Konstantin yang digelar ibu kota dunia oleh Napolean Bonaparte. Pemikiran genius Einstein melahirkan teori kerelatifan. Sudah lama epal jatuh ke bumi sehingga Isaac Newton menemui teori graviti. Tentera Isalm menang sebelum bertarung dengan tentera bersekutu dengan kebijaksanaan Salman al-Farisi dan kepintaran Nu’aim yang menyamar.

Fastabiqul khayrat menggesa hamba-Nya untuk memperbanyakkan ibadat dan berselera untuk menunaikannya. Seorang pensyarah menyebut, orang yang rapat dengan Allah rela menghabiskan masa untuk solat dan terasa bimbang setiap kali satu rakaat luput kerana ia tanda solat akan berakhir. Bukan sahaja zikir dan tasbih memuja Tuhan, malah selawat tanda cinta Rasul menjadi mainan bibirnya. Mereka yang soleh ini, seolah-olah menjadikan dunia seperti pen yang diputar-putar oleh jari-jemari, dan mereka merelakan diri mereka menjadi anak kepada akhirat.

Mereka bangkit dari lena yang panjang. Mereka sedar, hanya dengan Islam , mereka menjadi gemilang. Hanya Islam memuliakan mereka. Umar tegar berseru, ”Kami adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, maka barangsiapa yang mencari kemuliaan selain Islam, maka ia akan dihina Allah”. Kerana Islam kita mulia. Kerana Islam, kita bangkit sebagai bangsa yang berdaya saing dan bersikap mencabar.

Tradisi kepemudaan, jangan tinggalkan warisan keberanian Tariq bin Ziyad yang membuka Cordova. Tradisi kepemudaan, jangan tinggalkan kepemimpinan al-Zinki yang berjiwa. Maka jika begitu kekuatan yang kita warisi, maka gagasan samawi Fastabiqul khayrat tidak lapuk dan lekang dalam permainan syaitan.

Kita mesti menjadi Jalur Van Allen yang berani menentang kekuasaan matahari itu...

Dzulkhairi Mohd Noor
This entry was posted on 10:56:00 AM and is filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

1 Komentar:

On October 5, 2010 at 11:31 AM , Anonymous said...

ketika seorang samurai sejati berperang, dia mempersiapkan diri untuk mati, tetapi yang sering terjadi justru musuhnya yang mati !

petikan utk hang.