Dunia bagai wanita tua terbaring nazak menunggu ajal
11:42:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

H Fansuri


Kalau tidak salah saya, Buletin Utama pada Khamis lalu (24 April) telah menyiarkan satu laporan mengenai keadaan cuaca dan perubahan iklim di Semenanjung Tanah Melayu. Ia memberi laporan bahawa seluruh kawasan Pantai Timur akan terkena tempias perubahan cuaca dan ketidakstabilan iklim baru-baru ini.

Ada laporan akhbar yang menuliskan bahawa sekarang ini, hampir semua lautan di dunia kini berhadapan dengan masalah yang akan menjejaskan kehidupan manusia pada masa depan jika usaha tidak dilakukan untuk menanganinya mulai sekarang.

Menurut suatu kajian, antara kawasan laut yang paling teruk terjejas termasuklah Laut Utara, Laut China Selatan, Laut China Timur, Laut Caribbean, Pantai Timur Amerika Utara, Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Parsi, Laut Bering dan Lautan Pasifik Barat. Bagaimanapun, kawasan yang paling kurang terjejas adalah berhampiran kutub.

Tahun lalu, ada laporan menyebut bahawa ibu kota Thailand , Bangkok bakal tenggelam dalam tempoh 15 tahun bermula sekarang. Dalam kalangan insan yang arif, 'terus mata' dan menurut sahibul riwayat, kota yang banyak mengundang padah dan masalah terhadap penduduk Melayu Muslim di Selatan Thai itu akan tenggelam dalam 15 bulan saja lagi!

Sudah tentu lautan yang akan menenggelamkan Bangkok . Hal yang sama berlaku dengan lagenda tenggelamnya bandar Atlantis, kerajaan di Tasik Chini, Pahang, kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, bangsa yang tenggelam di bawah Laut Mati serta lain-lain kerajaan yang pernah ditenggelamkan Tuhan.

Pun begitu, ada juga lagenda yang menyebut Gunung Keriang pada asalnya sebuah pulau. Paras laut kemudiannya menurun sehingga wujud pendudukan manusia baru di situ. Dan, apabila paras laut surut dalam tempoh yang lama, pulau Keriang digelar sebagai gunung.

Laut amat penting kepada manusia. 70% isi bumi adalah lautan dan 30% adalah daratan. Ertinya, laut ada kemampuan untuk surut membentuk kerajaan, negara baru dan ada masa pula paras laut akan naik meningkat lalu menenggelamkan kedaulatan kerajaan lama.

Tubuh kita berasal daripada dunia ini. Ertinya, peratus air dalam tubuh lebih banyak dari daging di tubuh kita. Air di bumi yang diminum bertukar menjadi darah dalam tubuh lalu, makanan yang dicerna tercerna menjadi zat-zat protein yang bergabung menjadi bahagian daripada daging yang membalut tulang rangka kita. Demikianlah proses kehidupan.

Sakit di kulit tubuh kita adalah sakit di kulit bumi. Kulit dunia yang cedera, disiat pembangunan adalah seperti yang kita rasakan. Air sungai yang kotor bagaikan darah kita yang dicemari toksin yang dimakan daripada makanan segera atau makanan yang disembur racun buatan manusia.

Makanan pada zaman dulu, tiada unsur-unsur perubahan ini di mana segala isi kandungan genetiknya sekali pun telah pun diubah.

Dunia yang dihuni pada hari ini sebenarnya tidak wujud seperti yang dilihat pada hari ini. Perubahan iklim cuaca yang menyebabkan manusia, kerajaan berpindah randah mencari penempatan baru. Kemarau yang melanda menyebabkan sesuatu puak akan bergerak bagi mencari penempatan baru bagi meneruskan penghidupan.

Dunia bagaikan 'wanita tua' dalam peristiwa Isra' Mikraj

Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah telah melihat gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.

Gejala tanah runtuh di Malaysia baru-baru ini, jalan retak di Johor akibat banjir besar, pemanasan global adalah gejala yang lahir daripada kesakitan yang dialami 'wanita tua' ini sejak puluhan ribu tahun dulu ketika manusia berperang dan nazaknya makin kuat saat 'anak-anaknya' bersengketa, berlumba meletupkan nuklear, C4, water Canon, molotov.

Mungkin di bawah perut 'wanita tua' (bumi yang kerap digelar 'ibu pertiwi') di Johor itu telah ada batu-batuan yang telah mula retak, patah disimbah asid kilang yang sudah mendap, meresap jauh dalam tanah, merosakkan nadi-nadi, sendi-sendi, saraf, tulang belakang dan saraf tunjang di tubuhnya.

Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang sentiasa bersengketa!

Apakah proses penuaan? Menurut satu tafsiran penuaan ertinya suatu proses pengurangan air dalam tubuh badan. Makin meningkat usia, makin berkurangan air dalam tubuh kita.

Dunia kita begitu juga. Ia sudah tua dan peratus air laut berjumlah 70% itu berkurangan. Ia mungkin bukan berkurangan. Maksudnya, air yang berkualiti sejumlah 70% berkurang daripada peratus yang asalnya. Mungkin, kini cuma 30% air bersih. Dan baki 40% adalah air yang tidak berkualiti, tidak dirawat dengan sempurna, air keruh di Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan lain-lain limpahan kekotoran di sungai-sungai lain di dunia!

Ben Halpern, saintis di Pusat Analisis Ekologi dan Sentisis Kebangsaan di Universiti California , Santa Barbara telah menyebut dalam satu kajian bersama pasukannya tentang lautan. Menurutnya, ada dua hal yang tak terduga mutakhir ini mengenai lautan kita.

"Pertama, setiap sudut lautan di dunia sedah terjejas akibat sekurang-kurangnya satu kegiatan manusia. Kedua, lebih 40 peratus lagi terjejas akibat pelbagai kegiatan yang mereka lakukan. Lautan kita tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Sementara itu, seorang penyelidik lain pula mendedahkan bahawa kadar oksigen di dalam air cetek di sepanjang pantai Oregon menurun hingga ke paras kosong untuk kali pertama pada 2006. Bagaimana hidupan laut ini akan bernafas di dalamnya? Jikalau tiada hidupan laut yang berzikir kepada Tuhan, nescaya dunia ini akan kiamat.

Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam al-Qur'an: "Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah." Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua dan manusia pihak ketiga.

Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia? Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang dilihat Rasulullah sebagai wanita tua ini?

Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita simpanan dan wanita jalang? Prof Dr Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.

Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.

Tidak mustahil bahawa suatu masa nanti wanita pelacur ini akan bangkit memberontak dengan caranya yang tersendiri. Siapa yang jatuhkan menteri kesihatan Chua Soi Lek? Siapakah Altantuya dari Monggolia? Siapa Sufiah pelajar Oxford yang pernah meniti laluan sejarah gemilang?

Mereka pada asalnya kaum baik, tetapi telah dibentuk oleh keadaan yang pincang, sistem yang musnah dan memusnahkan dan akhirnya mereka bangkit dan keluar memberontak dengan cara yang tersendiri. Jangan salahkan mereka. Mereka tak bersalah. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan bapanya (penguasa) yang tidak memakai 'sarung'!

Pemberontakan perempuan ini sama seperti pemberontakan dunia sebagai wanita tua kita, iaitu bumi atau dunia atau alam buana yang pernah kita zaliminya sejak sekian lama. Bencana besar bakal melanda!

Kata sahibul riwayat, negara kita akan tertimpa bencana besar. Apabila saya sambungkan sanad riwayat ini kepada teman-teman, saya diketawakan. Apabila diajukan kepada orang tua di Bukit Tembaga, jawapannya, "Kena sedia dengan amalan, jangan hebahkan."

Kata sahibul riwayat lain, adapun amalan itu adalah 44 kali bacaan al-Fatihah 3 kali Jumaat, (selepas solat Jumaat) secara berjemaah. Demikian kaifiatnya guna merawat roh alam yang sakit in secara alternatif. Wallahu 'Alam. Oleh kerana kita berasal daripada tanah, dunia kita menderita penyakit yang sama dengan kita. Dunia tidak ditimpa penyakit ketika dunia dihuni dinosaur dan haiwan-haiwan purba yang tidak banyak menggunakan senjata kimia.

Setiap haiwan ada satu senjata. Tapi, manusia berbekalkan satu senjata, iaitu akalnya, dia boleh mencipta scud, tomahawk, kapal selam perang daripada Perancis dan ribuan senjata lagi. Dalam perang antara Habil dan Qabil itulah darah pertama jatuh atas nama dendam, sakit dan iri hati. Darah tertumpah atas niat jahat ini membuatkan dunia mula bergetar.

Darah yang tumpah kerana kecelakaan jalan raya, penyembelihan haiwan untuk makanan tak termasuk dalam sebab yang boleh menyebabkan dunia bergetar. Lafaz talak misalnya, menurut satu riwayat boleh menggoncangkan tiang Arasy.

Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang timbul akibat perang manusia.

Sungai-sungai di negara seperti pembuluh darah, urat-urat berselirat di dalam tubuh yang menjadi laluan darah selama ini. Tuhan mencipta sistem peredaran darah yang mengalir, mengaut sampah-sarap, mengangkut toksin di seluruh tubuh dan kemudian dihembuskan keluar sebagai karbon dioksida. (Bilakah sungai kota yang coklat akan jernih kembali?)

Merah darah yang semakin pudar itu akan kembali cerah dan segar warna merahnya saat ia bergabung dengan oksigen. Ini kitaran sungai darah di mana putaran itu menyebabkan darah sentiasa mengalir lancar dan tidak tersekat pula oleh sekatan-sekatan di liang-liang urat yang kerap tersumbat dengan semak-samun lemak dan lain-lain unsur.

Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan, kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?

Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali gus merawar 'kesihatan dunia kini?

'Rawatan alternatif' kepada dunia?

Akhir-akhir ini timbul istilah 'rawatan alternatif' yang mana cara merawat bersandarkan kepada getaran, aura, cakra dan lain-lain unsur yang tidak dapat dicerap penglihatan mata kasar. Alam kita mungkin dapat dirawat dengan kaedah itu di samping kaedah yang boleh dicapai pancaindera seperti hubungan kerjasama sejagat menangani 'global warming'.

Di Bali, beberapa bulan lalu telah diadakan Sidang Kemuncak tentang Pemanasan Global dan Al-Gore yang pernah berlawan dengan Bush di Amerika telah menjadi juara di dalam sidang kemuncak tersebut. Beberapa resolusi telah pun dicapai. Itu kerja manusia Barat.

Mungkin usaha manusia Barat ini boleh dianggap sebagai doktor atau tabib yang mencari penawar untuk tubuh, raga, alam kasar. Tapi, rawatan ini bukan untuk penyembuhan roh, jiwa. Jika tubuh terluka, maka penawarnya bersifat zat yang boleh dipegang. Tetapi, jiwa, roh yang terluka, terkoyak, penawarnya bersifat ghaib yang tidak dapat dicapai indera.

Di mana usaha manusia Timur yang mana nenek moyang mereka dahulu terkenal dengan sifat mesra alam? Penyembuhan mereka ini dapat menumpukan kepada roh, jiwa. Di sini kita melihat peninggalan kesan jejak warisan terdahulu untuk menyembuhkan bumi ini.

Islam misalnya mendidik kita bagaimana cara meminta hujan guna merawat kegersangan bumi yang tidak subur. Akal tidak dapat memikirkan bagaimana hubungan solat sunat ini dapat menyeru awan dan hujan kemudiannya akan turun.

Inilah rawatan alternatif kepada alam ini. Al-Gore dan ahli-ahli dalam Sidang Kemuncak Pemanasan Global tak akan pernah terfikir dan terjangkau akan kaedah rawatan alternatif seumpama ini. Pada Barat, bumi ini kering dan tiada roh yang hidup menaungi bumi ini.

Tapi, kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini dikenali sebagai kiamat.

Setiap pokok ada roh sendiri yang mana pada malam-malam mereka akan pergi beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Nenek moyang kita menyedari akan hal ini. Sebab itulah mereka tersasar memuja semangat padi, kononnya agar semangat itu tidak melarikan diri.

Sehinggalah Islam tiba dan mengasuh mereka supaya sujud kepada Allah; tuan punya roh tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman ruji dan sebagainya, maka nenek moyang kita pun terlepas bebas daripada amalan khurafat tersebut.

Dalam tubuh kita begitulah juga. Ada beberapa anggota yang lumpuh menjelang hari tua seperti kaki, tangan. Ada beberapa tempat di bumi ini telah kering, gersang, lumpuh atau 'mogok', enggan bekerja seperti biasa untuk menumbuhkan pohonan hijau merendang.

Jadi jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai mogok dan berpiket. Bumi kita ini akan mogok (tidak mahu bekerja seperti biasa) dan pandai berpiket juga. Dan ia tidak perlukan permit polis untuk berpiket. Ketika itu, segala macam kekuasaan di dunia ini akan hancur melebur, malah PBB pun tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tinggal berputih mata.

Ada bumi yang mogok kerana perbuatan insan seperti operasi 'bumi hangus' yang dibuat oleh tentera Jepun dalam serangan mereka dahulu. Ada belahan bumi yang mogok hingga menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.

Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka, bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.

Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka daripada bertembung.

Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah ibu mengandung.

dipetik dari HarakahDaily.net

Sayyid Qutb rela mati membela tauhid
5:20:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Sayyid Qutb rela mati membela tauhid
Oleh Ibrahim Abdullah

SEORANG pejuang menegakkan kalimah tauhid, Sayyid Qutb, kembali ke rahmatullah 41 tahun lalu. Tokoh dilahirkan pada 9 Oktober itu adalah penulis kitab Fi Zilal Al-Quran, Ma'alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din.

Tiga buku itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan Malaysia, serta mendapat sambutan hebat di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Memang ada perbahasan mengenai metod Sayyid Qutb dalam tulisan yang tegas menyatakan kesesatan masyarakat moden berkaitan penghakiman yang tidak merujuk kepada Allah. Bagaimanapun sejarah Sayyid Qutb perlu diulas sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang tokoh yang rela mengorbankan diri untuk membela tauhid yang diyakini kebenarannya.

Sayyid Qutb gugur di tiang gantungan pada 20 Ogos 1966. Ia dikenali sebagai tokoh yang berjuang di jalan Allah, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Seorang mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Ia persembahkan nyawa yang murah kepada keyakinan dan akidahnya.

Beliau melalui bertahun usia terakhir di penjara. Ia tuangkan jiwa dan fikiran yang luar biasa dalam lembar tulisan tangannya dengan untaian kata penuh makna dan bernilai sastera. Hampir semua orang yang membacanya, akan rasa getar hati nurani dan fikirannya.

Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama. Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia tujuh tahun, ia mula menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.
Awal dekad 1940-an, satu era baru bermula dalam kehidupan Sayyid Qutb. Dalam karya pada 1939, beliau mulai menulis beberapa siri At-Taswir Fanni Fi Quran. Tulisan ini mengupas indahnya seni yang ada dalam ayat al-Quran.

Pada 1945, beliau menulis kitab Masyahidul Qiamah Fi Quran yang isinya menggambarkan peristiwa hari kiamat dalam al-Quran. Pada 1948, Sayyid Qutb menghasilkan Al-Adalah al-Ijtima'iyyah Fi Islam atau Keadilan Sosial dalam Islam, menyatakan bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila masyarakat menerapkan sistem Islam.

Fasa terakhir perjalanan Sayyid Qutb bermula pada 1951, waktu beliau mula bergabung dengan Jama'ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.

Sayyid Qutb bergabung bersama al-Ikhwan al-Muslimun, dua tahun selepas meninggal Imam Hassan al-Banna, pelopor al-Ikhwan pada 1949. Mereka tidak pernah bertemu muka meskipun dilahirkan tahun yang sama 1906 dan mendapat pendidikan di Darul Ulum.
Walaupun begitu, mereka mempunyai kesatuan jiwa dan persamaan orientasi berfikir. Sebelumnya, ketika Hassan al-Banna membaca buku Al-'Adalah al-Ijtima'iyyah Fi Islam karya Sayyid Qutb, dia menganggap pengarang adalah sebahagian daripada Al-Ikhwan. Lalu, Al-Banna menyatakan bahawa 'orang ini' (Sayyid Qutb) tidak lama lagi akan bergabung bersama Al-Ikhwan.
Sayyid Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Kematian al-Banna sangat terasa dalam jiwanya, walaupun belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan menyayat hati ketika dirawat di sebuah hospital di Amerika.

Disebabkan orang Amerika bergembira menyambut berita kematian al-Banna, selepas pulang dari Amerika, Sayyid Qutb mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Seterusnya ia pun memutuskan untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Pesan utama Sayyid Qutb yang ditekankan dalam tulisan adalah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya, inti tauhid Uluhiyyah adalah hak Allah daripada sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri (pembuatan peraturan).

Beliau berkata, ikrar syahadah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumi-Nya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hak-Nya.

Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir melarang al-Ikhwan al-Muslimun dan pimpinannya ditangkap kerana dituduh hendak merampas kuasa. Tanpa bukti yang jelas, tujuh pemimpin tertinggi al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hassan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948.

Tetapi hukuman terhadap Hassan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Sayyid Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada 1964, Sayyid Qutb dibebaskan atas permintaan peribadi Presiden Iraq, Abdul Salam Arif tetapi pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan itu. Selepas Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat, Sayyid Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya.

Alasannya beliau dituduh hendak merampas kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku Sayyid Qutb terutama Ma'alim Fi Tariq, yang menyatakan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan syariat Allah.

Sayyid Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Sayyid Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta Sayyid Qutb menulis pernyataan memohon ampun supaya ia dibebaskan.

Bagaimanapun Sayyid Qutb dengan tegas menjawab: "Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran, aku reda. Jika aku dipenjara kerana batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan."

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb digantung bersama sahabat seperjuangannya, Muhammad Yusuf Hawwasy dan Abdul Fatah Ismail. Dunia Islam kehilangan salah seorang pejuangnya yang berani mempertaruhkan nyawanya untuk membela kalimah tauhid.

PROFIL

Sayyid Qutb
• Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama.
• Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut.
• Pada usia tujuh tahun, ia mula belajar menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.
• Pada 1951, beliau bergabung dengan Jama'ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.
• Maut di tali gantung 20 Ogos 1966.
• Tiga karya besar adalah Fi Zilal Al-Quran, Ma'alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din. Karyanya menjadi rujukan umat Islam.