Kenapa Anda Berdakwah ? Siri 3 - Saya Nak jadi Wakil
9:59:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

Ketika Parti Refah di Turki mencapai kemuncak kegemilangannya pada pertengahan era 90′an, semua orang berebut mahu mengadakan hubungan dengan Parti Refah. Semua orang berminat mengaitkan dirinya dengan Parti Refah.

Apabila Erbakan digulingkan, Refah diharamkan, cerita tentang Turki sepi seketika. Tambah pula di akhir-akhir 90′an, cakap-cakap orang di kota dan desa, masing-masing menyalahkan Parti Refah kerana terlalu ghairah bermain api dengan tentera. Akibatnya, rampasan kuasa berlaku, ekonomi merudum, pengundi Parti Refah dan mereka yang tidak mengundi semuanya menanggung akibat pendekatan Lose-Lose tentera Turki itu.

Ketika ini, mahu mahu mencari berita tentang Turki pun agak jarang ketemu di media.

IKHWAN AL-MUSLIMIN

Lebih awal dari itu, gerakan Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada tahun 1928, dilihat sebagai pengasas gerakan Islam bermanhaj pasca kejatuhan Khilafah Othmaniyyah. Ia jadi model. Kehebatannya dan ketersusunan gerak kerja Hasan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin jadi rujukan umat Islam sedunia.

Maka muncul pula gerakan-gerakan Islam yang menjadikan Ikhwan al-Muslimin sebagai benchmark. Ukuran kesempurnaan sebuah jamaah itu dibuat berdasarkan sejauh mana mereka memenuhi piawaian IM (Ikhwanul Muslimin).

“Saya lebih Ikhwan dari kamu”

“”Yang itu lebih Ikhwan dari yang ini”

Malah ada pula yang pergi kepada “saya wakil Ikhwan di sini!”

Kemudian timbul pula ayat “saya wakil Ikhwan yang diiktiraf di sini”

Itu sejarah…

PKS PULA

Hari ini, ramai pula yang berebut mahu menjadi wakil Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia di Malaysia.

Mula-mula saya dengar satu dua tempat di kalangan pelajar Malaysia di luar negara, kini berjangkit merebak di kalangan mahasiswa di Malaysia pula.

“Ana ikut usrah PKS”, suatu ayat baru yang muncul kebelakangan ini.

Sudah tentu hanya PKS sahaja yang tahu apakah mereka ada mewakilkan sesiapa untuk menjadi duta mereka di sini, tetapi saya lebih melihat kepada sikap self-proclaim yang berpenyakit di kalangan anak muda ini.

Ketika PKS kelihatannya begitu aktif, cergas dan mendapat sambutan luar biasa di Indonesia, penyakit lama kita berulang kembali.

Jika dulu mahu jadi wakil Ikhwan, kemudian mahu jadi wakil Refah dan kini mahu menjadi wakil PKS pula.

Sikap sebegini menjadi indikator kepada lemahnya jati diri kita dalam mengendalikan kerja-kerja Islam. Tentu sahaja saya merafa’ syukur kerana sedar bahawa jumlah orang muda yang mahu terbabit dengan dakwah dan peduli kepada masalah umat, masih amat kecil.

Jika solat, puasa, zakat dan haji dikatakan urusan al-Quran, tiada siapa yang berasa janggal. Tetapi apabila al-Quran yang sama bercakap tentang dakwah, ramai pula yang pelik dan memencilkan diri.

PINTU DAKWAH ADALAH AL-FAHMU

Namun pintu dakwah adalah al-Fahmu. Kefahaman… Hasan al-Banna sendiri merukunkan al-fahmu sebagai rukun pertama komitmen seseorang kepada gerakan Islam.

Ia hanya lanjutan tuntutan Islam, memulakan sesuatu dengan ilmu. Bab Aqidah pun Allah SWT sebut, “Dan ketahuilah kamu (beradalah kamu dalam pengetahuan) bahawa tiada Ilah melainkan Allah!” (Al-Quran 47: 19)

Maka penglibatan seseorang dalam gerakan Islam harus ada kefahaman yang jelas tentang apa yang diperjuangkan. Menerima bulat-bulat mana-mana idea tanpa upaya menyaring dan menyesuaikan teori dengan realiti, akan menjadikan gerakan Islam itu sama ada bermimpi dalam utopia, atau gagal berpijak di bumi nyata. Lebih tidak baik, jika gerakannya mencetus fasad kepada umat.

Faham tidak datang dari minda fotokopi. Ilmu gerakan yang menggerakkan ummah bukan ilmu hafazan. Ia harus datang dari ketelitian membaca teori dan waqi’, lalu disesuaikan antara keduanya.

Faham itu juga harus meliputi fahamnya kita terhadap kesan tindak tanduk yang dilakukan. Saya khuatir dengan permainan idealistik anak-anak muda ini merugi dan membazirkan masa serta tenaga mereka tanpa berpijak di bumi yang nyata.

KELEBIHAN DAN KELEMAHAN

Lihat sahaja gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin. Tidak dinafikan, usianya sebagai gerakan Islam tertua menjadikan ia sebagai sebuah gerakan yang sangat berpengalaman. Namun ia bukan jaminan bahawa semua yang dibuat oleh Ikhwan, mesti dibuat juga oleh gerakan Islam lain demi kesempurnaan. Ikhwan sendiri ada cabarannya yang tertentu dan mereka yang pernah bermastautin di negara Arab lebih mudah untuk faham bahawa Ikhwan juga merupakan sebuah gerakan yang ahlinya adalah manusia. Saya ulangi, MANUSIA…!

Tidak lupa juga kepada Parti Refah. Kelebihannya banyak, namun banyak juga perkara yang menjadi kekurangan mereka.

Sepatutnya mereka yang berada di Malaysia, memanfaatkan badan yang sedia ada dengan mengukuh dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada kerana gerakan-gerakan inilah yang hidup di Malaysia dan tahu serba serbi tentang kelakuan minda dan emosi orang kita. Malah pertubuhan-pertubuhan Islam yang sedia ada ini menanti suntikan segar generasi baru untuk menganjak pergerakan masing-masing ke arah yang lebih baik.

MISALNYA PAS

PAS misalnya, mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan usia penglibatannya di dalam caturan dakwah dan politik negara. Usianya yang senior dan tua itu menjadi kelebihan. Tetapi orang tua juga ada penyakitnya sendiri. Ketuaannya boleh menjadi punca ia sulit membuat perubahan, ketika perubahan menjadi faktor survival.

Contohnya, PAS sedari awal telah menyatakan dengan tegas tentang matlamatnya menubuhkan Negara Islam. Negara Islam itulah faktor yang menarik orang kepadanya dan ia menjadi unsur kekuatan untuk PAS pada suatu jangka masa yang agak panjang.

Tetapi dengan bertambahnya bilangan penduduk non Muslim yang well educated, maka persoalan Negara Islam semakin ditekan dan memperincikannya menjadi suatu tuntutan. Masyarakat non Muslim di Malaysia membaca bahan yang sama yang dibaca oleh masyarakat Barat. Pergi sahaja ke Kinokuniya, Borders dan kedai-kedai buku antarabangsa, semua buku yang mencorakkan pemikiran masyarakat Barat tentang Islam, ada di situ dan ia dibaca. Maka jika kita melihat Islamophobia sebagai cabaran kepada Islam dan Muslim di negara Barat, terimalah hakikat bahawa Islamophobia juga adalah fenomena yang mencabar gerakan Islam di Malaysia sendiri.

Oleh yang demikian, Negara Islam yang bertaraf slogan dan draf kasar, tidak cukup untuk meyakinkan pengundi, khususnya di kawasan urban Malaysia. Ia mesti diperincikan. Dan jika proses memperincikannya menghasilkan suatu idea bahawa konsep Negara Islam boleh diperjuangkan tanpa perlu menyebut Negara Islam, bersediakah PAS untuk melakukannya? Sekurang-kurangnya kerjasama PAS dengan DAP masih berlegar di sekitar isu ini.

FLEKSIBILITI

AKP telah mencapai kemenangan di Turki, selepas ia sanggup memanfaatkan fleksibiliti dalam mencorakkan inti perjuangannya. Jika selama ini sekularisma dianggap sebagai penekan agama agar tidak campur tangan dalam pemerintahan, maka AKP mahu memanfaatkan sudut sebalik definisi itu, iaitu sekularisma juga menuntut agar pihak pemerintah tidak campur tangan urusan agama! Maka itu yang AKP mahukan dari komitmen mereka kepada sekularisma. Tentera, parlimen dan Polis tidak patut campur tangan dalam urusan agama individu kerana itu merupakan sebahagian dari tuntutan sekularisma itu sendiri.

Hingga begitu sekali AKP berusaha untuk menggarap isu apa Islam dan apa sekularisma demi perjuangannya. Biar pun dibantah oleh Ikhwan al-Muslimin malah oleh Parti Saadet pimpinan guru AKP iaitu Prof Necmettin Erbakan. Tetapi perubahan yang dibuat oleh AKP itu menghasilkan sokongan lebih 40% berbanding Parti Saadet yang hanya menerima sekitar 2% undi.

Jika PAS perlu melakukan perubahan kepada caranya mendefinisikan Negara Islam dan agendanya kepada masyarakat Malaysia, bersediakah PAS untuk fleksibel dalam menggarapnya?

Andai fleksibiliti itu mahu dirujuk kepada sumber Islam, kita bisa ketemu dengannya di pelbagai peristiwa di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW.

Lihat sahaja Peperangan Hudaibiyyah. Delegasi Mekah enggan menandatanganinya jika Muhammad SAW memeterakan dirinya sebagai “RASULULLAH”. Alasan mereka jelas. Jika kami menandatangani perjanjian dengan seorang Rasul, maka salahlah kami jika kami tidak patuh kepada kamu! Tetapi Rasulullah SAW tidak teragak-agak untuk menggugurkan form demi substance. Baginda ada hak untuk bermati-matian mempertahankan title Rasulullah itu kerana Allah SWT sendiri yang mengurniakannya. Tetapi apa yang ada pada gelaran itu, berbanding maslahah besar yang ditawarkan oleh Perjanjian Hudaibiyyah berkenaan iaitu gencatan senjata yang menjanjikan keamanan. Keamanan itu yang mahu dikejar, demi meluaskan medan dakwah.

Maka saya kira, PAS memerlukan kepada banyak idea dan sokongan pemikiran serta gerak kerja untuk membantunya terus mengekalkan ciri dinamiknya selama ini. Tetapi usia tua PAS dan keahliannya yang terbuka kepada SEMUA lapisan rakyat, menjadikan proses ini sebagai suatu cabaran yang bukan calang-calang.

ABIM, JIM DAN TABLIGH

Selain PAS, gerakan-gerakan Islam yang lain juga memerlukan kepada banyak usaha penambah baikan. ABIM yang juga begitu lama berdiri di daerah perjuangan Islam, rancak meneroka pelbagai aspek baru dalam perjuangan. Anak-anak mudanya kelihatan begitu bersemangat mencuba pelbagai idea baru untuk menambahkan keberkesanan gerak kerjanya, dan semua ini sangat memerlukan kepada sokongan idea dan tenaga kerja yang besar.

Begitu juga dengan JIM, di samping pertubuhan yang lebih akar umbi seperti Tabligh dan sebagainya.

Malah kesemua gerakan ini harus jujur menganjakkan diri mereka kepada kerjasama yang lebih kukuh kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang menjadikan kita saling memerlukan. Gerakan-gerakan ini sudah cukup banyak untuk menguruskan dakwah dan siasah di Malaysia yang hanya ada sekitar 24 juta penduduk. Manfaatkanlah apa yang sedia ada dan bentuklah pemikiran dan ideologinya agar benar-benar Malaysia.

Itu tuntutan al-Hikmah… acuan Ikhwan sesuai dengan tempatnya, acuan Refah atau AKP sesuai dengan tempatnya. Kita mengkaji dan belajar tentang gerak kerja mereka bukan dengan maksud mahu fotostat, apatah lagi membuat dakwaan menjadi wakilnya.

Semua ini sudah cukup mendesak kita untuk menumpukan tenaga, fikiran dan masa kepada proksi dakwah yang sedia ada. Bermain-main dengan idea “saya mahu menjadi wakil” akan menjadi jenayah kepada ummah jika kesudahannya hanyalah pembaziran. Ingat, jalan perjuangan itu panjang, bukan sekadar tahun-tahun bilangan jari di kampus semata!

SUKA MENGIDOLA

Kekaguman terhadap kejayaan dan kehebatan mana-mana badan Islam atau tokohnya, tidak seharusnya menghasilkan perbuatan menyalin mutlak badan atau tokoh berkenaan. Ia lebih kepada sikap yang mudah idolasi membuta tuli yang menumpulkan minda dan perjuangan.

Saya amat berharap agar pengalaman dan kelebihan yang ada pada PKS apatah lagi realiti Indonesia yang memiliki modal insan pada kuantiti yang sangat besar itu, dapat dipelajari dan dimanfaatkan oleh gerakan-gerakan Islam di Malaysia. Tetapi adalah sesuatu yang cukup tidak kena apabila muncul kecenderungan mahu menjadi wakil PKS di Malaysia.

Apatah lagi dari kalangan anak muda yang memang suka mencuba. Daripada cuba merokok dan mencuba fesyen terkini, sampailah kepada cuba mengenengahkan kepelikan mengheret masa sendiri dan rakan-rakan kepada suatu penyakit lama yang diperbaharui… saya mahu menjadi wakil!

Saya tidak punya apa-apa kuasa untuk menahan atau menggalakkan sesiapa. Ia hanya pandangan peribadi.

Semoga idealistik orang muda tidak sampai memencilkan realistiknya persekitaran yang ada…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com