Dilema Berbilang Jamaah
10:59:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin


Dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Sultan Muhammad Petra, Kelantan, saya dan kakak sempat berbual dan berbincang mengenai isu taadud jamaah. Isu yang sudah sekian lama, namun masih tiada penyelesaian yang betul-betul signifikan.

Melihatkan perkembangan dakwah dan tarbiyah hari ini, mengheret saya untuk lebih bersyukur kerana usaha dakwah dan tarbiyah itu ada di mana-mana sahaja. Baik dalam kampus, syarikat-syarikat, kawasan kampung, bandar, sekolah-sekolah dan banyak lagi. Malah hampir semua tempat. Usaha-usaha murni ini sedikit sebanyak telah memberi impak kepada perubahan landskap dan pola masyarakat Malaysia.

Hakikat berbilang jamaah

Perlu disedari bahawa gerakan Islam itu seharusnya satu sahaja. Walaupun ada sabdaan junjungan dan ulama' muktabar yang mengatakan demikian, namun hakikatnya tidak sedemikian khususnya di negara kita. Di negara kita, terdapat banyaknya jamaah Islam dengan definisi yang pelbagai.

Ada orang berpendapat, wujudnya pelbagai jamaah adalah berpunca daripada perbezaan manhaj dan cara bekerja para duat. Mereka memilih jalan yang difikirkan sesuai dan lebih dekat untuk mencapai matlamat. Berpandukan Al-Quran dan Al-Hadis serta melakukan beberapa penyesuaian mengikut keperluan waqi' semasa.

Tidak dinafikan perbezaan paradigma dalam melihat, cara berfikir dan menterjemah sesuatu merupakan fitrah bagi manusia. Perbezaan pemikiran dan persepsi sebegini diharuskan dalam syara', walaupun ada suruhan agar menjaga perpaduan dan suruhan agar tidak berpecah. Namun, perbezaan ini haruslah berpandukan syara' dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan.

Faktor berbilang jamaah

Banyak jamaah yang muncul dengan faktor-faktor (dakwaan) tersendiri, antaranya ialah :

1. Gerakan Islam yang sedia ada telah kehabisan matlamat dan tujuan sedangkan matlamat dan cita-cita Islam belum tercapai.
2. Gerakan Islam sedia ada tidak lengkap dan menyeluruh.
3. Gerakan Islam sedia ada mempunyai kekeliruan dan seribu satu persoalan. Justeru mewujudkan gerakan Islam baru dapat menyelamatkan mereka yang bekerja dalam lapagan Islam daripada pelbagai tuduhan dan syubhat serta persoalan yang pelbagai itu.
4. Gerakan Islam yang sedia ada banyak melakukan kesalahan.

Tuntasnya, ianya ditubuhkan kerana rasa tidak puas hati terhadap gerakan Islam sedia ada yang akhirnya menyebabkan penubuhan gerakan Islam baru. Lebih ketara, kejahilan mereka tentang gerakan Islam sedia ada yang menyebabkan mereka memilih jalan selamat.

Di negara kita, masih belum ada lagi Harakah Islamiyyah Syumuliyyah, seperti yang telah berlaku di Indonesia. Walaupun mereka dari jamaah Islam yang berbeza, namun mereka mampu untuk bergerak dalam satu pasukan untuk mencapai matlamat yang sama. Di Malaysia belum lagi. Dan saya optimis, ia menjadi suatu impian dan harapan ramai pihak.

Suatu gerakan Islam yang bergerak secara kolektif pasti membawa ketumbukan yang besar kepada sesuatu perubahan. Persis. Ingat, tiada istilah Jama'atul Muslimin. Yang ada adalah Jamaah Minal Muslimin. Kita tidak mahu sebuah jamaah ataupun seorang duat yang hanya ingin menjuarai dan mengungguli jamaahnya semata-mata tetapi menomah, memburukkan malah memfitnah jamaah yang bukan sebulu dengan fikrahnya. Please deh..Hanya dok bergaduh sesama jamaah, tapi dakwah Islam tak kemana. Tidak keterlaluan jika saya mahu katakan, masalah ini disebabkan oleh masalah SIKAP manusia.

Teringat satu slogan, ''Islami Islami, la Syarqiyah wala Gharbiyah''. Bergabunglah dengan mana-mana jamaah sekalipun, yang penting bersama jamaah. Selagi matlamat jamaah itu tidak salah. Pun begitu, ada di luar sana jamaah yang boleh sampai ke tahap apa yang Allah mahu. Fikir-fikirkan...





Saya kurang pasti ada yang setuju ke tidak, tapi ini pandangan peribadi. Sekadar mencoret apa yang ada dalam dimensi benak fikiran ke dalam Dimensi Minda.