KUALA LUMPUR, 17 Feb: PAS menyertai pilihan raya umum ke 12 dengan satu matlamat besar iaitu mahu memperbetulkan kerosakan teruk yang telah dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu khasnya empat tahun kebelakangan ini ketika negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Untuk itulah kita menawarkan negara berkebajikan sebagai ubat bagi memperbetulkan segala kerosakan itu," kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, BN nampaknya sedang memukul canang tentang isu keselamatan dan keamanan negara.

Isu kehilangan adik Sharlinie Muhd Nashar telah diwar-warkan sedemikian rupa sehingga ke peringkat menjadi ikon dan menimbulkan keraguan apakah tujuannya menjelang pilihan raya umum ini.

"Jangan-jangan ia agenda BN menjelang pilihan raya. BN akan datang dengan cadangan penyelesaian dan memujuk rakyat, hanya BN yang mampu menjamin keselamatan dan pembangkang pula yang mengganggu keselamatan negara.

Sharlinie ditemui?

"Saya tidak terkejut kalau menjelang pilihan raya nanti adik Sharlinie tiba-tiba ditemui dan ketika itu akan datanglah feel good factor untuk kempen BN," kata seorang pengulas politik.

Negara berkebajikan telah ditawarkan oleh PAS melalui manifestonya. Ia dirumuskan bagi menyelesaikan segala masalah yang dihasilkan oleh sistem pentadbiran BN yang ada.

Antara masalahnya adalah kenaikan harga barangan dan kos perkhidmatan yang dirasai rakyat akibat dari kenaikan harga minyak. Negara juga menghadapi masalah kenaikan kos perubatan, pendidikan, rasuah, intergriti kehakiman dan sebagainya.

Jika BN terus kekal, harga petrol akan dinaikkan dengan alasan harga petrol yang meningkat di pasaran dunia. Kenaikan harga petrol bermakna kenaikan untuk semua harga barangan yang lain kerana petrol atau bahan bakar adalah faktor penentu kepada harga atau perkhidmatan yang menggunakan minyak dan petrol ini.

Padahal, PAS berhujjah, apabila harga petrol atau minyak dunia meningkat, bermakna negara menikmati keuntungan yang besar kerana Malaysia adalah negara pengekspot minyak dunia. Sebahagian keuntungan itu patut dikembalikan kepada rakyat dengan mengurangkan harga minyak untuk rakyat.

Perkara ini dijelaskan oleh AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali yang ketika berucap di Chow Kit dalam Parlimen Titiwangsa, tempat di mana beliau akan bertanding nanti.

"Apabila harga minyak di dunia naik, bermakna negara kita untung kerana kita pengekspot minyak. Sebahagian keuntungan itu patut dipulangkan kembali kepada rakyat bukannya dengan memberikan manafaat kepada golongan tertentu sahaja," kata beliau.

Halang kebocoran

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berhujjah juga menggunakan perkara ini.

"Negara kita bankrap kalau kita menurunkan harga minyak kerana berlaku kebocoran dalam ekonomi negara. Kalau tidak, kita yakin akan berjaya. Kita tawarkan sebuah negara yang bersih dari amalan rasuah dan kebocoran untuk kroni ini," kata beliau.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, negara akan bankrap jika harga minyak diturunkan sebagaimana yang dikehendaki pembangkang.