Cerpen Sufi
7:17:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

Saya bertemu guru saya malam itu, dalam mimpi. Sudah lama guru tidak bertandang menziarahi saya. Guru nampaknya semakin berseri wajahnya dan sarat dengan rasa kecintaan kepada pencipta. Saya memberikan lafaz salam kepada guru seraya menyalami dan mengucup tangannya dengan rindu yang membuak-buak.


"Apa khabar guru ?", saya mulakan bicara. Guru memandang wajah saya dengan aneh sekali.

“Aku sedang sibuk mengasah makrifatku,” ringkas jawapan guru. Saya terkedu. “Anakku, orang yang mengasah makrifat berbeza dengan orang yang lalai beribadah,” jelas guru, sinis rasanya.

“Maafkan saya guru, saya kurang mengerti,” saya bertanya jujur. Guru melihat kepadaku.

“Nampak gaya pandangan makrifatmu semakin tumpul. Kamu leka beribadah tetapi kamu lupa menajamkan pandangan basirahmu. Anakku, kau telah ditipu oleh ibadahmu yang membukit sedangkan semua itu permainan syaitan,” saya semkain terpinga-pinga.

Saya bangun bertahajud setiap malam. Saya membaca al-quran tanpa rasa jemu. Saya membanyakkan doa dan zikir kepada Allah. Apa maksud guru sebenarnya.

“Muridku, sebutkan apa tanda menurut syahwat pada pandangan Ibnu Ataillah?” guru bertanya. Aduh, gentar habis tubuh badanku. Terkeluar keringat takut dan pcat. Guru mengujiku.

“Kalam hikmah berbunyi, antara tanda orang mengikut nafsu, memperbanyakkan amalan sunat tetapi bermalas-malasan dalam perkara yang wajib,” sebutku perlahan. “Tapi guru, saya tetap memperindahkan yang fardhu dan menambahkan yang sunat,” saya cuba membela diri saya.

Guru tersenyum. Saya semakin diserang perasaan serba salah. Saya cuba memikirkan di mana silapnya saya. Apakah kurangnya saya. Saya tidak keruan dan tidakketahuan. Apa puncanya, saya semakin gelisah dan diburu resah.

“Anakku, ingatkah kamu tentang pesan Rabiah, istighfar yang memerlukan istighfar yang lain?” guru bertanya. Istighfar yang memerlukan istighfar yang lain. Istighfar yang diucapkan melalui lisan dengan tujuan meraih rasa bangga dan perhatian orang lain. Istighfar yang diungkapkan dengan rasa takabbur dan riya’ dan mendalam. Istighfar yang ditutur dengan lisan sedangkan hati berbaur dengan noda dan titik hitam. Istighfar yang dilafazkan sedangkan hati langsung tidak memahami, basirah pun tidak terasah.

“Anakku, ingatkan kamu pesan ulama Rabbani, jangan kamu menanam pohonan syurga dengan benih-benih neraka?” Saya terjatuh melutut apabila basirah saya diserang bertubi-tubi oleh guru.

Mengerjakan solat dengan kesungguhan tetapi tahajud langsung tidak membantu mendekatkan diri kepada Allah. Hanya tahajud, hanya gerakan badan, sedangkan hati tidak bersama-sama. Hanya bangun di malam hari sedangkan simbahan cahaya pada mata hati redup sekali. Bacaan al-Quran yang hanya menjadi gerakan bibir dan basahan lidah sedangkan akal tidak mengerti dan jiwa semakin kontang. Hanya zikir yang terlafaz sedangkan mata tidak menangis. Hanya merenung dosa dengan ingat-ingatan bukannya dengan jiwa dan rasa mendalam.

Aduh, tajamnya sinis guru malam ini.

« Anakku, terangkan padaku apakah tanda Allah memberikan kebaikan kepada kita?” guru bertanya lagi sedangkan saya sudah tidak tertahan. Mata saya tidak putus-putus mengeluarkan air mata keinsafan. Saya berasa takut sekali. Rupanya tahajud saya bukannya membuahkan keimanan tetapi dosa berpanjangan. Saya tertipu dengan banyaknya ibadah.

“Guru, tanda Allah memberi kebaikan kepada hambanya ada tiga. Pertama, ia tidak pernah berniat untuk melakukan kebaikan tetapi Allah mendorongnya melakukan kebaikan. Ia berniat melakukan kejahatan tetapi Allah menghalangnya. Ketiga, Allah membuka pintu hatinya untuk sentiasa mengharap dan berdoa kepada Allah dalam setiap masa,” saya menerangkannya dalam keadaan sendu.

Orang yang ikhlas kepada Allah, Allah pacakkan rasa kehambaan pada matanya. Lalu yang melihatnya akan berasa tenang dan senang. Sedangkan yang berterusan dalam maksiat dan dosa, maka wajahnya hitam dan redup, seolah-olah kepingan malam.

“Anakku, Ramadhan memang bulan ibadah. Namun yang lebih baik adalah, Ramadhan bulan mengasah ketajaman makrifat. Namun aku melihat kamu telah tertipu oleh syaitan. Bertaubatlah wahai anakku,” pesan guru sambil meninggalkan saya.

Dan saya terus menangis mendengar pesan tajam guru.