Wahai pemuda..bacalah kisahku
8:10:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

10:16 p.m
4 jun 2008
Peringat,
Kota Bharu Kelantan.

Pada suatu malam yang hening..

Walaupun sinaran mega matahari kian menghilang, aku masih lagi di koridor bilikku. Termenung memikirkan perjalanan hidupku sebagai seorang yang bergelar pemuda. Semakin hari, semakin sukar untuk aku menyusuri denai-denai yang penuh onak dan duri. Dipenuhi segala macam mehnah dan tribulasi. Aku bingung. Bingung memikirkan manhaj atau cara terbaik untuk aku guna pakai dalam usaha untuk menyambung lidah Rasulullah SAW selari dengan dunia kontemporari kini. Dengan kekangan waktu dan kudrat yang ku miliki, dan jua amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas pundakku, aku berasa sungguh lesu dan kaku. Stress kadang-kadang. Aku termenung…

Tiba-tiba muncul satu skrin putih yang besar secara mengejut dihadapanku. Tergamam aku dibuatnya. Mataku terpaku tepat pada skrin itu. Pada skrin itu, muncul seorang lelaki yang tampak segak sekali dengan Tuxedo yang dipakainya. Wah ala-ala Jackie Chan plak mamat nie. Aku bermonolog seorangan. Kemudian lelaki itu melemparkan satu senyuman yang cukup mesra kepadaku. Assalamualaikum wahai pemuda, sapa lelaki itu. Tanpa melengahkan masa, lelaki itu mula berbicara..

Wahai pemuda,

Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Saya juga mengucapkan selawat dan salam buat junjungan kita Muhammad, imam orang-orang soleh, pemimpin para mujahid dan juga buat keluarga baginda, para sahabat serta para tabiin.

Wahai pemuda,

Suatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merialisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatan yang tersendiri,.setiap gagasan ada pendokong panjinya.

Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka hidayah petunjuk. (Al-kahfi: 13)

Dengan ini bermakna kewajipan kamu banyak, tangungjawab kamu berat dan terlalu banyak hak bangsa kamu yang perlu kamu tunaikan. Ini bermakna amanah yang kamu pikul adalah berat. Kamu perlu berfikir semasak-masaknya, kamu perlu berusaha lebih, kamu perlu menentukan pendirian kamu, kamu perlu mara sebagai penyelamat. Kamu perlu tunaikan segala hak ummah dengan segala keistimewaan yang kamu miliki sebagai pemuda.

Ada pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang hidup aman sejahtera. Bangsa ini memiliki kuasa yang mantap dan kemajuannya melimpah ruah. Pemuda yang lahir dalam suasana ini lebih mementingkan diri sendiri daripada memeningkan nasib bangsanya. Dia akan sentiasa berhibur dan berseronok dengan jiwa yang tenang dan selesa.

Ada pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang sedang berjuang kerana bangsanya sedang dijajah. Musuh menentukan segala nasib bangsanya. Bangsanya sedang berjuang bermati-matian untuk mengembalikan hak mereka yang telah dinafikan, khazanah mereka yang telah dirampas, kebebasan mereka yang telah lenyap termasuklah kegemilangan dan kedudukan mereka. Ketika itu keutamaan pemuda ialah mementingkan nasib bangsanya lebih daripada mementingkan nasib dirinya sendiri. Jika kewajipan ini berjaya dilaksanakan, dia bakal beroleh kejayaan dunia dengan menerima kemenangan di medan perjuangan dan dia akan beroleh kejayaan akhirat dengan menerima ganjaran daripada Allah. Barangkali kita bernasib baik kerana berada bersama golongan kedua. Kita berpeluang melihat sebuah bangsa yang sedang berjuang dan bekorban untuk memperolehi hak kebebasan. Bersedialah wahai para pejuang kerana kemenangan sangat hampir dengan orang-orang beriman dan kejayaan besar akan diperolehi oleh orang-orang yang berusaha tanpa henti.,

Wahai pemuda,

Barangkali faktor yang paling kritikal bagi sesebuah bangsa yang sedang membangun ialah wujudnya pelbagai aliran dengan pelbagai dakyah, wujudnya pelbagai pendekatan dengan pelbagai strategi dan cara kerja serta wujudnya perebutan untuk menjadi pemimpin dan ketua. Semua faktor ini hanya memecahbelahkan segala tumpuan serta kekuatan dan tidak mungkin membawa kepada matlamat yang diingini. Atas dasar ini, langkah mengkaji dan menilai segala aliran ini merupakan suatu yang perlu dilakukan oleh mereka yang mahukan perubahan.

Allahuakbar Allahuakbar..Allahuakbar Allahuakbar..

Ashadun’allaa ilaa haillallah….”

Aku tersentak dek azan yang dilaungkan oleh muaazin. Oh, dan masuk waktu isyak rupanya, aku berbisik.

Tiba-tiba, lelaki itu menghilangkan dirinya bersama-sama skrin besar yang ada di hadapanku. Aku tercengang.. Kemana lelaki tersebut?, aku tertanya-tanya lagi.

Rupa-rupanya baru kusedar, aku mengelamun…