Ukhuwah : Satu Persoalan
6:45:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin


Ukhuwah Satu persoalan…..

Ukhuwah secara bahasanya bermaksud persaudaraan. Ku kenali istilah tersebut, seawalnya secara teori dan amali sewaktu bersekolah menengah asrama penuh, kira-kira 12 tahun dahulu.

Ku kira ukhuwah adalah unsur penting bagi mengikat hati-hati sekumpulan manusia dalam mana-mana tempat dan keadaan. Apatah lagi ukhuwah menjadi rukun yang penting bagi organisasi gerakan Islam yang mengumpulkan pelbagai latarbelakang dan ragam manusia serta CARA BERFIKIR untuk ditautkan hati-hati mereka di atas sesuatu isu atau keputusan.

Ukhuwahlah yang menjadi pemangkin yang membantu seseorang boleh berlapang dada dengan orang lain walaupun berbeza pendapat, disamping kefahaman yang selaras, peraturan organisasi, hukum-hakam serta akal yang sihat.

Ukhuwah kadangkala mudah dan cepat suburnya dan adakalanya lambat dan sukar serta memerlukan masa yang panjang untuk bermujahadah. Pengalaman mengajar kita sedemikian. Kadangkala kita cepat mesra dengan seseorang yang baru sahaja dikenali dan dalam masa yang sama kita lambat mesra dengan orang yang telah lama kita kenali.

Ku kira bagi seorang muslim mukmin, perasaan ukhuwah yang disuburi dengan imanlah yang menyebabkan hati bersedih bilamana melihat kesengsaraan dan kezaliman yang menimpa umat Islam di Palestin baik, di Iraq serta di selatan Thai dan sebagainya, selain unsur manusiawi yang Allah jadikan dalam setiap diri manusia tanpa mengira kepercayaan atau kaum.

Sabda Nabi junjungan sallaHu ‘alaihi wasallam dalam perkara ini ada benarnya seperti maksud hadis di sini :

” Ruh-ruh itu bagaikan satu batalion tentera ( junudul mujannadah). Mana-mana yang ia kenal ia akan masuk bersatu, dan mana-mana yang ia tidak kenal/serasi, ia tidak akan masuk bersatu”

Ukhuwah, ku kira, termasuk dalam unsur ruh yang tidak dapat disukat dengan sukatan kasar atau fizikal. Namun kesannya boleh dilihat di alam nyata melalui kesungguhan atau komitmen dalam menjaga hubungan, cepat memberi respons dan organisasi yang lancar walau dengan arahan dan tunjukajar yang ringkas.

Ku kira tindakan sebegini, perlu juga diberi pujian. Namun dalam masa yang sama yang salah dan yang benar itu perlu dijelaskan secara jelas menurut adab-adab akhlak Islamiah supaya isu sebenar tidak dipesongkan atas alasan ‘menjaga ukhuwah’

Oleh itu ukhuwah itu sendiri tegaknya dengan kefahaman yang benar pada sesuatu permasalahan.

Ukhuwah itu suatu yang suci sesuci ingatan Junjungan mulia tehadap umat sewaktu maut hampir datang menjemput Baginda. Ia juga sesuci seperti sucinya tangan-tangan kaum muslimin yang sanggup mengangkat pedang terhadap kaum keluarganya sendiri yang masih musyrik sewaktu pertempuran dua golongan , golongan iman dan golongan syirik dalam Perang Badar.

Orang-orang yang menuturkan ukhuwah tidak ramai yang mampu menggalas beban ukhuwah dalam bentuk bergerak kerja dalam jamaah. Ada yang hanya mampu melihat bebanan sahabat melaksanakan sesuatu program tanpa merasa perlu meringankan beban sahabat tersebut walau sekadar kata-kata sokongan atau setinggi-tingginya meng’offer’kan diri menjadi AJK. Ku kira ujian sebenar ukhuwah berlaku di sini.

Ku kira juga ukhuwah yang hakiki tidak terbina dengan slogan-slogan yang boleh dihias dengan bunga-bunga bahasa sebagai tema suatu program. Ukhuwah yang hakiki ku kira, akan subur selama mana sahabat-sahabat yang pernah berukhuwah itu, menghubungkan dirinya pada tali Allah yang menjadi asas bermulanya persaudaraan mereka itu. Selama mana jarak dan masa memisahkan, ukhuwah takkan tergugat selagi berpegang pada asas yang pernah membina ukhuwah itu sendiri suatu ketika dahulu.

Kepada Allah kuserahkan segala urusan atas kelemahanku menanggung beban ukhuwah fiLlah yang diungkapkan di ruangan ini….

“Semoga Ukhuwah FiLlah Subur Selamanya”

Wassalam.

Penulis : Mohd Zulkhairi



Orang Ibadah vs Orang Politik
6:07:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin

Terdapat dalam kalangan umat Islam sekarang bertanya, ''Mengapakah terdapat dalam kaalangan orang-orang kita yang aktif di medan politik lebih daripada ibadah?" Mereka ragu dengan gerakan dan kebangkitan Harakah Islamiyyah yang menyeluruh, kononnya ia tidak ada hubungan dengan pengertian Islam yang sebenar. Malah mereka menganggap ianya satu penyelewengan dari penghayatan islam yang sebenar. Islam tidak membezakan antara orang-orang di mihrab-mihrab masjid, yang mengeluarkan air mata khusyu' dan tawaddu' kepada Allah, dengan orang yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, baik dengan menggunakan air liur, dakwat pena, malah dengna peluh dan darah yang mengalir demi kecintaan mereka terhadap Islam. Al Imam 'Abdullah alMubarak pernah menulis kepada sahabatnya yang beribadat di Mekkah denngan meninggalkan jihad :

"wahai saudara yang sedang beribadat di tanah suci. Kalau saudara melihat kami, saudara akan ketahui. saudara hanya bermain dengan ibadat. siapa yang pipinya berlumuran air mata, maka leher kami berlumuran darah. kalau kudamu penat dalam kebatilan, maka kuda kami penat di medan perang".

Sesungguhnya membezakan antara orang yang beriktikaf di masjid dengna mereka yang berjuang menegakkan masyarakat dan negara Islam, yang pertama dinamakan orang agama atau orang dakwah yang menghayati Islam, dan yang keduanya dipanggil orang politik yang berjuang untuk kepentingan duniawi, adalah perbezaan yang ditonjolkan oleh musuh Islam. Ini menunjukkan betapa jahilnya orang Islam jikalau mereka terpedaya dan terpengaruh dalam pentakrifan ini !

Petikan dari buku "Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah" oleh TG Hj Abdul Hadi Awang, Dewan Pustaka Fajar, Bab 1 dengan sedikit perubahan bahasa sesuai sebagai peringatan ringkas.

by Humaira'

Politik adalah alat, bukan matlamat. Kuasa adalah jalan, bukan tujuan.