Semester Yang Penuh Liku
9:59:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

ALHAMDULILLAH…

Sungguh pantas masa berlalu, sudah hampir empat tahun aku hidup bergelar sebagai seorang mahasiswa di bumi Multimedia University. Pasti, ia penuh dengan tauladan dan sempadan.

Semester satu Delta Year yang baru sahaja berlalu hanya meletakkan aku dalam keadaan serba salah yang tidak berkesudahan. Liku-liku yang terpaksa aku tempuhi tika itu adalah proses-proses yang berstatus gagal. Aku gagal untuk memaknakan perubahan yang besar buat diri dan persekitaran. Mungkin sahaja aku sendiri yang tidak memahami perubahan daripada angle mana yang aku inginkan; sehinggakan akhirnya, aku sendiri yang memusuhi perubahan yang ingin aku lakukan. Ustaz Najib sering mengulang-ulang ungkapan ini, “dalam hukum fiqh, manusia sering memusuhi perkara yang tidak difahaminya.”

Oh, mungkin disebabkan kedangkalan ilmu, aku gagal untuk memahami perubahan. Lantas, aku tetap statik. Dulu, kini dan selamanya (?) Aku tidak banyak berubah sepertimana yang aku inginkan walaupun sedang melalui sistem tarbiyah. Sedangkan tarbiyah itu akan melahirkan perubahan. Daripada akhlak buruk kepada baik. Daripada terhasut oleh ideologi-ideologi sempit kepada Islam yang luas. Daripada pentingkan diri sendiri kepada menghayati nilai ithar (pentingkan sahabat daripada diri sendiri). Daripada pemarah kepada penyabar, dan sebagainya.

Justeru, adakah sistem tarbiyah ini ada cacatnya? Ataupun mungkin aku sendiri yang gagal untuk menghayati nilai tarbiyah seadanya?

Nah, ternyata aku masih gagal memahami perubahan lantaran kefahaman yang masih kurang. Kata IR Ahmad Jais Alias, Kefahaman dan ilmu saling berkait. Ilmu yang difahami akan mudah untuk diamalkan. Kefahaman tanpa ilmu akan mengundang penyelewengan. Justeru, kita semua perlukan ilmu dan kefahaman dalam mengurus perubahan. Semakin besar perubahan yang ingin dilakukan, semakin banyak ilmu dan kefahaman yang kita perlukan. Apabila ilmu bertambah, kejahilan pasti berlalu.


Lain tempat, Lain Budaya

2007, Julai.

“Abang Firdaus, ana dah tak tahan dengan keadaan ni. Ana nak jumpa Anta secepat mungkin”, lebih kurang begitu bait ayat SMS yang aku hantar pada Abang Firdaus sejurus malam orientasi berlalu empat tahun lalu. Abang Firdaus merupakan senior yang aku kenal sewaktu awal-awal aku masuk ke kampus lagi. Dia merupakan bekas salah seorang Vice President 1 IU dan tink-tanker IU yang banyak menyumbang dalam percaturan IU keseluruhannya.

SMS yang aku hantar itu adalah komulasi rasa bimbang apabila aku sudah tidak tahan dengan angin perubahan yang begitu deras dan keras. Sekencang Tsunami, mungkin. Mana tidaknya, malam orientasi adalah show 1001 malam yang dihiasi dengan joget-joget dan tari-menari. Terdedah sana-sini. Ada yang menonggeng dan tertonggeng. Ditambah pula dengan keadaan dewan yang agak gelap, memungkinkan untuk terjadi operasi meraba dan teraba. Persepsi awal aku mula dibentuk, “Mungkin itu suasana biasa di sini.”

Aku mengambil keputusan untuk keluar daripada dewan.

Aku berhadapan dengan perubahan. Ya, perubahan waqi’. Daripada waqi’ confort-zone yang baik dan selesa kepada waqi’ yang penuh hedonisme yang menjanjikan kocakan pada prinsip dan nilai diri. Aku sering dipesan oleh sahabat-sahabat AJK Surau di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, KMPP, sewaktu aku ditaklifkan sebagai Rais Lujnah Dakwah dan Kefahaman Islam, “Amin, anta jangan terpengaruh dengan suasana, tetapi anta yang kene mempengaruhi suasana”. Nasihat ringkas itu aku pegang sebagai bekalan untuk merempuh waqi’ yang berbeza sejak hampir empat tahun dahulu hingga kini.


IU Sebagai Wasilah

Kerja dakwah adalah kerja mulia. Tanpa dakwah ajakan tidak akan berlaku dan seruan tidak akan menjadi. Dakwah bukan sekadar menjentik minda tetapi perlu menjentik hati. Kalimah dakwah bukan sahaja mengajar manusia berfikir tetapi membimbing manusia merasai kebenaran. Jalur dakwah adalah jalur terbaik membimbing manusia berubah.

Aku terlibat dalam dakwah dan tarbiyah dengan menjadikan IU sebagai wasilah dalam kampus, kerana aku percaya dalam IU, aku akan dipantau dan dijaga oleh senior-senior sebaiknya. Malah aku menanam azam untuk meneruskan kesinambungan senior-senior dalam proses untuk memberi. Aku juga yakin bahawa proses memberi lebih baik daripada menerima.

IU bukanlah sebuah organisasi yang begitu besar. Namun, keberadaanya dalam kampus sudah cukup untuk mewarnai sedikit sebanyak landskap kampus dengan nilai-nilai islamik.

IU menjadi salah satu platform kepada pelajar-pelajar yang ingin terus bergiat dengan nilai Islam.

Aku salah seorang daripadanya.

Bagi aku, IU adalah tempat paling baik untuk melengkapkan sebahagian proses hidup aku, iaitu memberi. Teringat suatu bait-bait ayat Ustaz Pahrol, “Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan untuk kita. Jangan menjadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, hakikatnya milik siapa?

Semua itu bukan milik kita…Segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Allah memberi untuk kita memberi.”


Jawatan : Taklif laa Tasyrif

Muktamar Sanawi 2010/11;

Bermula saat dan detik itu, aku secara rasminya memegang taklifan besar untuk terus mengemudi IU. Terasa diri ini sangat tidak bersedia dan tidak layak untuk sesuatu yang berskala besar.

Tapi, Alhamdulillah.

Dengan sedikit kesedaran dan kefahaman, Allah masih lagi tidak melemparkan rasa jemu untuk aku terus-menerus berada dalam IU dan saling bantu-membantu dalam menggerakkan platform mahasiswa Islam ini. Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian, cabaran dan mehnah tribulasi, aku mendoakan agar Allah memasakkan kaki ini untuk terus berada dalam jalan yang Dia redhai. Aku akan cuba yang termampu untuk memobilisasi platform ini sebaiknya kerana aku yakin yang meletakkan aku sampai ke peringkat ini bukan hasil keputusan syura dan senior-senior, tetapi atas ketentuan dan pilihan daripadaNya.

“Dalam kerancakan pemilihan kepimpinan hari ini, kita hendaklah menyedari bahawa kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan( tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ). Ini perlu dihayati dan dimuhasabahkan oleh kesemua bakal – bakal pemimpin”, aku memulakan bicara sewaktu menyampaikan kuliah lapangan ringkas kepada barisan tanzim dalam tamrin.

“Sebenarnya, terdapat dua perbezaan sikap yang ketara antara tasyrif dan juga taklif: “,

Aku menyambung, bunyinya lebih kurang begini,

“Pertama, orang yang menganggap kepimpinan adalah kedudukan dan tasyrif baginya akan berkeinginan kepada jawatan tersebut tanpa berfikir ia akan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang terpikul dibahunya dengan jawatan tersebut. Dia berbangga bahawa dia seorang berjawatan tinggi tanpa dia merasai bersalah dan gerun bahawa tanggungjawab yang dibebankan keatas bahunya itu nanti akan menyebabkan kehinaan dan penyesalan pada dirinya pada hari kiamat jika ia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

Kedua, manakala orang yang faham bahawa ia adalah taklif yang akan dipersoalkan pada hari akhirat, ia akan wara’ terhadap jawatan. Jika maslahah dan syura memutuskan, ia memegang jawatan ia akan bertanggujawab dan akan cuba melaksanakannya dengan besungguh-sungguh. Maka ia ambil dengan perasaan takut dan merasai muraqabah Allah s.w.t. Sewajarnya kita melihat kepimpinan bukanlah satu aset yang wajar dibanggakan, ada individu yang merasakan dirinya lebih daripada yang lain kerana jawatan yang disandang.”

Ya, jawatan yang aku sandang hari ini merupakan amanah yang akan ditanya satu persatu olehNya di Sana nanti. Aku tidak dapat gambarkan, kalau-kalau semua sahabat-sahabat tanzimku bergerak menuju syurga, tatkala aku masih tidak habis-habis lagi dipersoalkan dek amanah yang tidak aku pikul sebaiknya. Malah aku juga tidak dapat gambarkan, kalau-kalau aku hanya mampu terlantar di pintu syurga, lantas jatuh dibaham Jahannam !

Aku menyambung lagi,

“Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang tidak mampu ditunaikan. Islam mangajar kita melaksanakan sesuatu mengikut kemampuan dan kapasiti yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya akan tetapi akan ditanya kelak ialah MENGAPA TIDAK BEKERJA MENUNAIKAN AMANAH.”


Hikmah di Sebalik Kisah

Perlu ditegaskan bahawa kita mahu menyahkan fenomena budaya acuh tak acuh dengan gerak kerja dakwah. Aku ingin mengajak semua agar tidak rentung dalam dunia retorika yang hanya melaung tetapi tidak bertindak, bercakap tetapi tidak beraksi, mengkritik tetapi tidak konstruktif. Dakwah bukannya kata-kata keramat yang ada kuasa tersendiri, sebaliknya dakwah adalah praktikal, kerja, dan lebih banyak “memberi” dari “menerima”. Tiada guna dakwah jika tahu tetapi tidak mahu melaksana. Tiada guna juga mahu tetapi tidak mampu bertahan dengan karenah mad’u.

Kata Prof. Dr Sidek Baba, Cerita dakwah adalah cerita indah. Jalannya penuh liku dan cabarannya menuntut pengorbanan. Tidak ada yang lebih indah dalam kehidupan seorang pendakwah apabila dengan izin Allah orang yang didakwah berubah, daripada bersikap negatif terhadap Islam menjadi orang yang taat beragama. Daripada pemikiran sekular dan liberal kembali menghayati cara hidup Islam. Daripada menganggap Islam sebagai kolot dan ketinggalan zaman menjadi seorang yang cintakan ilmu Islam.

Prasyaratnya adalah wujud keikhlasan dalam diri, usaha yang tidak pernah kenal jemu, ilmu dan pengalaman yang harus di tingkatkan. Melihat setiap manusia ada potensi untuk didakwah dan yang terlajak ada jalan untuk kembali., maka mencari jalan terbaik untuk mengajak mereka kembali dengan keinsafan yang mendalam adalah tugas seorang dai. Kerja dakwah adalah tugas aku. Pemberi hidayah adalah kerja Allah. Apabila orang tidak berubah, caraku mungkin tidak kena. Orang tidak harus dipersalahkan. Dan, putus asa tidak perlu ada dalam diri.

Pendakwah mesti yakin risalah yang dibawanya adalah untuk kebaikan manusia. Selagi prinsip ini menjadi tunjang seorang dai dan murabbi, gerak kerja dakwah akan subur dan Islam akan terus bangkit membawa perubahan.

13 Oktober 2010,

7.15 pagi,

Selepas makan nasi goreng mama,

Bilik aku,

Teratak 101, Peringat, Kelantan.

Nota : Nukilan ini hanya luahan citraku yang penuh khilaf. Sekadar menulis untuk menjadi memoir kenang-kenangan suatu hari nanti. Menulis bukan untuk memberitahu, tetapi mencetuskan mahu dan mampu. Dan, aku bukanlah orang yang sebaiknya, tetapi salahkah aku untuk cuba menjadi orang yang terbaik?