Belajar Berubah Daripada Rasulullah
12:56:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

Tiada retorik yang hangat sekali diperkatakan sekarang melainkan perubahan. Pemimpin mahu mencetuskan perubahan. Manakala, rakyat inginkan perubahan.

Ya, sama ada perubahan itu kerana 'terpaksa' atau kerana 'rela', terpulanglah. Pokoknya semua ingin berubah. Jadi mengapa kita tidak belajar daripada Rasulullah SAW untuk melakukan perubahan? bukankah Baginda itu kita akui sebagai role model dalam kehidupan?

Rasulullah SAW menggunakan kaedah daripada Allah SWT untuk mengubah manusia. Walaupun Arab jahiliah ketika itu sedang mendepani kegawatan politik, kegawatan ekonomi, dan kegawatan sosial, tetapi Rasulullah tidak mengubat 'penyakit-penyakit' itu pada kesannya, tetapi terus pada puncanya.

Baginda yakin kegawatan yang bersifat lahiriah itu adalah hasil daripada 'sakitnya' tiga elemen dalaman manusia iaitu akal yang jahil, hati yang keras dan nafsu yang liar.

Inilah punca kejahatan maanusia. menyedari hakikat ini, Rasulullah memulakan perubahan dari dalam ke luar bukan dari luar ke dalam. Tiga belas tahun Rasulullah menangani elemen dalaman di peringkat Makiyyah. Ayat-ayat alQuran bersifat pendek-pendek dan sarat dengan persoalan tauhid. Semuanya berkisar pada persoalan iman - menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah. Juga menggambarkan betapa nikmatnya Syurga dan betapa azabnya Neraka Jahannam.

Itulah kunci kepada perubahan sikap. Tauhid yang kuat secara automatik mengubah rasa, fikiran dan tingkah laku manusia. Transformasi, Revolusi, evolusi atau apa-apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan mesti berlandaskan tauhid. Semua itu membekalkan kekuatan pengetahuan, kemahuan, dan kemampuan untuk berubah.

Tauhid ialah sumber kekuatan kerana ia mampu mengatasi semua elemen negatif yang datang dari luar diri sama ada dari keluarga, persekitaran, budaya bangsa, pengaruh atasan dan keserakahan nafsunya sendiri.

Selepas itu, diperingkat Madaniyyah, aplikasi sistem islam mula dilaksanakan secara total. Dimulakan dengan agenda ekonomi, politik, budaya, pertahanan dan lain-lain. namun, asas dan teras tauhid yang dibina diperingkat Makiyyah t=tidak pernah dipinggirkan, bahkan terus-menerus disuburkan.

Seperkara lagi, kejayaan mengubah manusia banyak bergantung kepada faktor pengubah itu sendiri. Justeru, pemimpin hendaklah bersedia untuk bersedia untuk menjadi role model atau menjadi teladan ke arah perubahan. jadi, berubahlah untuk mengubah orang lain !

Rasulullah SAW berjaya mengubah manusia kerana baginda terlebih dahulu menjadi qudwah hasanah. hanya orang yang berjaya mengubah sikapnya terlebih dahulu, barulah dia boleh berjaya mengubah sikap orang lain. Hal ini kerana manusia lebih memercayaai mata daripada telinga.

Tegasnya, dua faktor perubahan di ataas - pertama, formula perubahan. Kedua, pemimpin perubahan, perlu ditangani secara tuntas sekiranya kita benar-benar ingin berubah. Kita berdoa, semoga setiap pemimpin Muslim tidak kira daripada kumpulan mana sekalipun mereka berada, sedarlah hakikat ini dan mulalah menelusuri kaedah Rasulullah SAW ini untuk berubah. Amiin...