Palestine Waving Flag
2:47:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin



Begin with the End in Mind
8:18:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin




Sebelum kita memulakan perjalanan, kita harus menentukan arah dan destinasi yang ingin dituju. Tidak mungkin kita memulakan perjalanan tanpa ada gambaran akhir destinasi kita. Ada gambaran, baru langkah dimulakan. Inilah yang dimaksudkan dengan Begin with the End in Mind. Memulakan langkah dengan gambaran akhir di dalam fikiran.

Tabiat kedua yang diajarkan oleh Steven Covey dalam buku 7 Habits of Highly Effective People ini sangat bermanfaat untuk kehidupan duniawi kita. Buat sesuatu, biar jelas dan tepat. Sebelum terlibat di dalam satu hubungan, bayangkan kesudahan yang diharapkan. Jika mahu melaksanakan satu projek, apakah gambaran akhir kepada kesudahan projek itu. Maka tabiat melakukan sesuatu berteraskan visi dan misi yang jelas lagi tepat, menjadikan kehidupan seseorang itu terancang.

Sedar atau tidak, kita terpaksa membuat pelbagai keputusan dalam kehidupan seharian. Hasil kajian yang dibuat menyatakan, kita terpaksa membuat sekurang-kurangnya 300 keputusan dalam sehari. Hal ini telah meletakkan diri kita di persimpangan yang pelbagai.

Tetapi, soal Begin with the End in Mind bukan hanya soal dunia. Akhir yang paling akhir, jangan dilupa. Bagaimana soal hujung hidup di alam dunia? Bagaimana dengan hidup di sana selepas mati di sini? Maka hal ini juga membabitkan soal iman.

Sama ada kita rancang atau tidak, sedar atau alpa, peduli atau membodohkan diri, kita tetap menuju akhir yang sama. Kita akan mati. Selepas mati, perjalanan kita akan terus berlangsung hingga ke detik muhasabah di hadapan Allah. Dan akhir perjalanan kita sama ada di Syurga atau di Neraka. Oleh itu, apa sahaja keputusan yang ingin diambil, fikirkan kesudahan akhir kerana semuanya berkesudahan dengan kesudahan yang sama. Mati, Syurga, Neraka.

Sedikit ucapan ini sekadar pembuka tirai sesi akademik 2010/2011 tidak lama lagi. Selamat datang saya ucapkan kepada pelajar-pelajar yang baru mendaftarkan diri di Multimedia University. Selamat merempuh alam kampus dengan perancangan yang rapi, jelas, dan tepat. Supaya kehidupan sebagai seorang siswa/i lebih terarah. Hidup tanpa arah, adalah kehidupan yang tidak tentu arah. Tabiat Begin with the End in Mind mesti ada untuk seseorang itu cemerlang dan berkesan dalam hidupnya. Buat sesuatu, biar jelas matlamatnya.