Usah tangisi apa yang bukan milikmu
12:20:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Pagi itu, aku bersiar-siar di taman berhampiran rumahku. Duduk di papan gelongsor - menghirup udara segar bagi menenangkan jiwa yang agak gundah. Entah, tiba-tiba jiwa jadi tak tenteram. Tatkala, teringat peristiwa itu kembali, jiwaku mula mendesak-desak. Aduh, kesakitan dan keperitan dalam liku-liku peristiwa itu, takkan aku lupa buat selama-lamanya. Ia sangat bangat. Air mataku mula tumpah membasahi pipi.

"Kenapa harus jadi begini?", hati aku mula bergolak. "Huh, kenapa aku yang mesti dipilih untuk watak dalam cerita yang malang ini? takkan tak ada orang lain?", aku mula menyalahkan keputusan dari langit.

"Anakku, jangan ditangisi apa yang bukan milikmu", tiba-tiba ada seorang pakcik menyapa.

"Dalam perjalanan hidup ini kita sering merasa kecewa. Kecewa sekali. sesuatu yang luput dari gengaman, keinginan yang tidak tercapai, kenyataan yang tidak sesuai harapan. Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran", sambung pakcik yang entah dari mana muncul.

Aku mula hairan dan jadi tidak keruan. Perwatakan pak cik itu sungguh pelik. Sepanjang aku menetap di Bukit Beruang, tidak pernah aku lihat kelibat pak cik itu di surau taman.

Namun, aku memberanikan diri untuk bertanya, "pakcik, kenapa apa yang saya minta pada Allah, selalu sahaja tidak dapat? tapi kadang-kadang apa yang tidak diminta, itu yang dapat". Aku mula mengesat air mata yang berlinangan dek kerana segan dengan pakcik itu. "Anakku, kita meminta pada Allah apa yang kita mahu tapi Allah membalas permintaan kita apa yang kita perlu. Tak semua apa yang kita minta itu baik untuk kita".

Kemudian, pakcik tadi membacakan ayat 216 dalam surah alBaqarah. Aku merapatkan sedikit telinga ke bibir pakcik dan menghadam ayat itu sebaiknya. Suara ketuaan pakcik menambahkan syahdu di hati.
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. tetapi boleh jadi kamu tidak meyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui", pakcik itu melagukan maksud ayat itu.

Oh, takung air mataku tidak tertahan lagi.

Pakcik tadi mula merubah paradigma aku dalam melihat sesuatu yang berlaku dalam kehidupan belantara ini. Cara aku melihat dan berekspresi makin terpimpin. "Pakcik, jadi macam mana Allah membalas segala permintaan kita?", aku mengajukan soalan.

Pakcik itu meleretkan matanya kepadaku. "Allah boleh membalas dalam banyak jalan. kalau bukan sekarang, kelak nanti. kalau bukan di dunia, insyaAllah di akhirat. kalau kita meminta sesuatu di usia muda, mungkin di usia tua nanti baru permintaan itu tertunai. sesungguhnya Allah bisa membalas dalam banyak cara dan jalan. percayalah. Anakku, usah kau risau dengan pembalasan dari Allah, yang terpenting adalah sejauhmana usahamu dalam bergantung harap pada Allah. Tersukan berdoa".

Duhai orang muda, ingat pesan Allah dalam surah al Hadiid ayat 22 dan 23,
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."

Bait-bait nasihat pakcik itu tadi membawa aku terperosok dalam lembah kejahilan dan memaksa aku untuk bermuhasabah. Aku memandang ke langit, bermuhasabah bagi mengkoreksi diri yang penuh kejahilan dan kehinaan. "Aduh, kerdilnya diriku ini ya Allah".

"Pakcik, terima kasih ya sebab...", kelibat pakcik meresap hilang secara tiba-tiba. Aku kelam seketika dan dihinggap rasa keanehan. Aku lihat ada sepucuk surat disebelahku. Mungkin surat ini ditinggalkan oleh pakcik itu kepadaku. Aku yang kebingungan terus membaca surat itu :

" Anakku,
jangan kau hanyut dalam nestapa jiwa berkepanjangan terhadap apa-apa yang luput darimu. Setelah ini harus benar-benar difikirkan bahwa apa-apa yang kita rasa perlu di dunia ini harus benar-benar perlu, bila ada relevansinya dengan harapan kita akan bahagia di akhirat. Kerana seorang Mu'min tidak hidup untuk dunia, tetapi menjadikan dunia untuk mencari hidup yang sesungguhnya hidup di akhirat kelak. Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!".

Tiba-tiba, seluruh alam menjadi kelam dan gelap. Tidak ada sedikitpun cahaya. Aku teraba-raba mencari arah. Apa yang aku tahu, aku tersepak sesuatu. Lantas aku jatuh tersungkur.

"Aduh sakitnya...".

Sejurus selepas itu, alam mulai cerah kembali. rupa-rupanya aku berada di atas lantai tepi katilku. Di tanganku ada sepucuk surat pemberian pakcik itu. Makin hairan dan keliru dibuatnya. Namun, aku gagahkan diri untuk bangun dan aku hanya mampu tersenyum.






Saya Suka Kucing. Anda?
1:28:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Wallpaper Institusi Usrah
5:37:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin
"Kisah peperangan yang dilalui oleh Nabi SAW benar-benar memberikan pengajaran yang bermakna kepada kita semua sebagai umatnya. Perang bagi nabi bukan bertujuan menghancurkan musuh semata-mata, malah yang sebetulnya ialah menghapuskan kejahatan dan memalingkan musuh kepada kebenaran.
Apabila kita berperang kerana membela bangsa, maka bukan jihad namanya. Jika kita berperang kerana kepentingan diri atau gerakan, itu juga bukan jihad. Berperang dalam erti kata sebenar ialah kerana ingin menegakkan kalimah Allah. Maka Allah SWT telah meletakkan syarat-syarat asasi yang mesti diikuti dalam medan peperangan.
Kesatuan sangat penting dalam berjihad. Berada dalam satu saff yang teratur, taat kepada perintah ketua, mendahulukan yang terpenting, jangan pentingkan diri sendiri, memulakan dengan nama Allah yang Maha Mulia, menjauhi maksiat dan memperkasakan taat, serta sentiasa memperbetulkan niat."

Usai study malam semalam, berehat sebentar bersama Adobe photoshop CS. Teringin nak create wallpaper bagi persatuan yang dicintai, Institusi Usrah. Sesiapa yang berminat untuk letakkan sebagai wallpaper di desktop anda, silakan. Free of charge je. Untuk gambar yang berkualiti, klik pada gambar dulu, kemudian baru save.




Ukhuwah : Satu Persoalan
6:45:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin


Ukhuwah Satu persoalan…..

Ukhuwah secara bahasanya bermaksud persaudaraan. Ku kenali istilah tersebut, seawalnya secara teori dan amali sewaktu bersekolah menengah asrama penuh, kira-kira 12 tahun dahulu.

Ku kira ukhuwah adalah unsur penting bagi mengikat hati-hati sekumpulan manusia dalam mana-mana tempat dan keadaan. Apatah lagi ukhuwah menjadi rukun yang penting bagi organisasi gerakan Islam yang mengumpulkan pelbagai latarbelakang dan ragam manusia serta CARA BERFIKIR untuk ditautkan hati-hati mereka di atas sesuatu isu atau keputusan.

Ukhuwahlah yang menjadi pemangkin yang membantu seseorang boleh berlapang dada dengan orang lain walaupun berbeza pendapat, disamping kefahaman yang selaras, peraturan organisasi, hukum-hakam serta akal yang sihat.

Ukhuwah kadangkala mudah dan cepat suburnya dan adakalanya lambat dan sukar serta memerlukan masa yang panjang untuk bermujahadah. Pengalaman mengajar kita sedemikian. Kadangkala kita cepat mesra dengan seseorang yang baru sahaja dikenali dan dalam masa yang sama kita lambat mesra dengan orang yang telah lama kita kenali.

Ku kira bagi seorang muslim mukmin, perasaan ukhuwah yang disuburi dengan imanlah yang menyebabkan hati bersedih bilamana melihat kesengsaraan dan kezaliman yang menimpa umat Islam di Palestin baik, di Iraq serta di selatan Thai dan sebagainya, selain unsur manusiawi yang Allah jadikan dalam setiap diri manusia tanpa mengira kepercayaan atau kaum.

Sabda Nabi junjungan sallaHu ‘alaihi wasallam dalam perkara ini ada benarnya seperti maksud hadis di sini :

” Ruh-ruh itu bagaikan satu batalion tentera ( junudul mujannadah). Mana-mana yang ia kenal ia akan masuk bersatu, dan mana-mana yang ia tidak kenal/serasi, ia tidak akan masuk bersatu”

Ukhuwah, ku kira, termasuk dalam unsur ruh yang tidak dapat disukat dengan sukatan kasar atau fizikal. Namun kesannya boleh dilihat di alam nyata melalui kesungguhan atau komitmen dalam menjaga hubungan, cepat memberi respons dan organisasi yang lancar walau dengan arahan dan tunjukajar yang ringkas.

Ku kira tindakan sebegini, perlu juga diberi pujian. Namun dalam masa yang sama yang salah dan yang benar itu perlu dijelaskan secara jelas menurut adab-adab akhlak Islamiah supaya isu sebenar tidak dipesongkan atas alasan ‘menjaga ukhuwah’

Oleh itu ukhuwah itu sendiri tegaknya dengan kefahaman yang benar pada sesuatu permasalahan.

Ukhuwah itu suatu yang suci sesuci ingatan Junjungan mulia tehadap umat sewaktu maut hampir datang menjemput Baginda. Ia juga sesuci seperti sucinya tangan-tangan kaum muslimin yang sanggup mengangkat pedang terhadap kaum keluarganya sendiri yang masih musyrik sewaktu pertempuran dua golongan , golongan iman dan golongan syirik dalam Perang Badar.

Orang-orang yang menuturkan ukhuwah tidak ramai yang mampu menggalas beban ukhuwah dalam bentuk bergerak kerja dalam jamaah. Ada yang hanya mampu melihat bebanan sahabat melaksanakan sesuatu program tanpa merasa perlu meringankan beban sahabat tersebut walau sekadar kata-kata sokongan atau setinggi-tingginya meng’offer’kan diri menjadi AJK. Ku kira ujian sebenar ukhuwah berlaku di sini.

Ku kira juga ukhuwah yang hakiki tidak terbina dengan slogan-slogan yang boleh dihias dengan bunga-bunga bahasa sebagai tema suatu program. Ukhuwah yang hakiki ku kira, akan subur selama mana sahabat-sahabat yang pernah berukhuwah itu, menghubungkan dirinya pada tali Allah yang menjadi asas bermulanya persaudaraan mereka itu. Selama mana jarak dan masa memisahkan, ukhuwah takkan tergugat selagi berpegang pada asas yang pernah membina ukhuwah itu sendiri suatu ketika dahulu.

Kepada Allah kuserahkan segala urusan atas kelemahanku menanggung beban ukhuwah fiLlah yang diungkapkan di ruangan ini….

“Semoga Ukhuwah FiLlah Subur Selamanya”

Wassalam.

Penulis : Mohd Zulkhairi



Orang Ibadah vs Orang Politik
6:07:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin

Terdapat dalam kalangan umat Islam sekarang bertanya, ''Mengapakah terdapat dalam kaalangan orang-orang kita yang aktif di medan politik lebih daripada ibadah?" Mereka ragu dengan gerakan dan kebangkitan Harakah Islamiyyah yang menyeluruh, kononnya ia tidak ada hubungan dengan pengertian Islam yang sebenar. Malah mereka menganggap ianya satu penyelewengan dari penghayatan islam yang sebenar. Islam tidak membezakan antara orang-orang di mihrab-mihrab masjid, yang mengeluarkan air mata khusyu' dan tawaddu' kepada Allah, dengan orang yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, baik dengan menggunakan air liur, dakwat pena, malah dengna peluh dan darah yang mengalir demi kecintaan mereka terhadap Islam. Al Imam 'Abdullah alMubarak pernah menulis kepada sahabatnya yang beribadat di Mekkah denngan meninggalkan jihad :

"wahai saudara yang sedang beribadat di tanah suci. Kalau saudara melihat kami, saudara akan ketahui. saudara hanya bermain dengan ibadat. siapa yang pipinya berlumuran air mata, maka leher kami berlumuran darah. kalau kudamu penat dalam kebatilan, maka kuda kami penat di medan perang".

Sesungguhnya membezakan antara orang yang beriktikaf di masjid dengna mereka yang berjuang menegakkan masyarakat dan negara Islam, yang pertama dinamakan orang agama atau orang dakwah yang menghayati Islam, dan yang keduanya dipanggil orang politik yang berjuang untuk kepentingan duniawi, adalah perbezaan yang ditonjolkan oleh musuh Islam. Ini menunjukkan betapa jahilnya orang Islam jikalau mereka terpedaya dan terpengaruh dalam pentakrifan ini !

Petikan dari buku "Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah" oleh TG Hj Abdul Hadi Awang, Dewan Pustaka Fajar, Bab 1 dengan sedikit perubahan bahasa sesuai sebagai peringatan ringkas.

by Humaira'

Politik adalah alat, bukan matlamat. Kuasa adalah jalan, bukan tujuan.