Mahasiswa Kedah Tubuh NGO
6:10:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin
KUALA LUMPUR : Keprihatinan, kepekaan dan kesungguhan telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah terhadap perpaduan rakyat, semangat integrasi, soal-soal kebajikan dan juga sumbangan serta khidmat bakti mereka kepada masyarakat terutamanya di negeri Kedah, telah terbukti dengan tertubuhnya sebuah badan NGO baru, yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA).

Persatuan Mahasiswa Darul Aman atau ringkasannya PERSADA, ditubuhkan dibawah ikatan amanah dan dijadikan sebagai satu medium terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah, sama ada yang berada di dalam dan juga di luar negara, menggagaskan dan memperluaskan peranan mereka hingga mencapai tahap yang optimum, demi kebaikan seluruh mahasiswa anak-anak Kedah dan masyarakat khususnya untuk rakyat negeri Kedah itu sendiri.

Dengan tertubuhnya PERSADA yang menaungi semua persatuan-persatuan mahasiswa dan pelajar negeri Kedah di setiap IPTA dan IPTS, persatuan mahasiswa dan pelajar di semua Institut Perguruan dan maktab, kolej-kolej, politeknik-politeknik, sama ada di dalam dan juga di luar negara, ia diharapkan mampu menjadi wadah kesatuan buat semua mahasiswa anak jati negeri tersebut.

PERSADA yang telah didaftarkan secara sah dan rasmi sebagai sebuah badan NGO yang bebas, turut menyertai gabungan badan-badan NGO seluruh negeri Kedah yang lebih dikenali sebagai WEHDAH. Daripada sambutan yang agak memberansangkan dan juga respon positif yang telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah atas penubuhan PERSADA ini, menyerlahkan kesungguhan dan kesanggupan mahasiswa-mahasiswa Kedah berganding bahu dan bekerjasama bagi mencapai matlamat penubuhannya.

Antara matlamat penubuhan PERSADA ini ialah untuk menganjurkan sebarang aktiviti kebajikan bagi mahasiswa-mahasiswa Kedah yang berada di dalam mahupun di luar negara. PERSADA juga bermatlamat untuk menjayakan dan melaksanakan kerja-kerja ke arah memaksimumkan pengupayaan mahasiswa dan masyarakat melalui peningkatan ilmu, kemahiran, pengalaman dan daya inisiatif untuk membangunkan mereka dengan nilai-nilai murni yang kondusif.

Selain itu juga, penubuhan PERSADA turut bertujuan untuk mengadakan kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan di peringkat negeri dan juga nasional dalam usaha mencapai matlamatnya. Penubuhan PERSADA secara tuntasnya bertindak sebagai wadah yang dapat mengemblengkan tenaga, idea, gerak kerja dan usaha, seterusnya memacu mahasiswa Kedah di seluruh Malaysia dan di luar negara, untuk memberi dan mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Menurut Presiden Penaja PERSADA, Mohd Faisal bin Mustaffa, dengan termaktubnya PERSADA ini sebagai badan NGO berdaftar, beliau berharap PERSADA dapat menjadi medan terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah dari pelbagai kaum dan agama, sama ada di dalam dan di luar negara, berkumpul dan duduk di bawah naungan yang satu, iaitu PERSADA, demi penyatuan mahasiswa Kedah itu sendiri.

Beliau juga menegaskan bahawa melalui PERSADA jugalah mahasiswa dapat bergerak dengan lebih aktif untuk membantu masyarakat terutamanya di negeri Kedah, di atas nama sebuah badan NGO yang sah.

Hasrat beliau lagi agar PERSADA yang ditubuhkan atas dasar menyedari kepentingan hubungan keintelektualan mahasiswa dengan masyarakat, dalam mendepani arus sebenar dalam dunia masa kini, mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, bagi merealisasikan apa yang telah direncanakan.

http://faisalmustaffa.com/v2/