Rakyat Malaysia memerlukan anjakan paradigma tentang budaya hidup . Penulis buku ini mengkritik sikap terlalu bergantung kepada subsidi dan hak istimewa dalam menjaga periuk nasi mereka - mereka yang tidak sedar perubahan global semasa.
Demokrasi yang dilaungkan dalam Malaysia disindir tidak berfungsi sepenuhnya dan masih terdapat banyak ketidak adilan menembusi ruang-ruang perpaduan kaum di Malaysia.

Turut menganalisa polemik politik semasa, penulis cuba menarik pemikiran para pembaca agar mengintai masalah dalaman negara dalam skop yang lebih meluas agar sesuai dengan era globalisasi semasa. Menurut penulis, rakyat Malaysia tidak seharusnya memberi mandat sepenuhnya kepada ahli politik dalam menentukan halatuju rakyat, sebaliknya benar-benar memainkan kuasa rakyat untuk manipulasi karismatik ahli politik dalam membina acuan negara berdasarkan keperluan rakyat. Gelombang rakyat sebagai raja sebenar dalam negara harus dibangkitkan.


Fenomena kebergantungan melampau terhadap “suapan” pemerintah dan berlindung di sebalik hak keistimewaan dilihat penulis adalah satu sindrom penyakit yang amat bahaya melanda kaum melayu. Ia bukan sahaja dilihat tidak adil kepada kaum lain malah ia juga secara perlahan-lahan membunuh sifat daya saing dan jati diri bangsa itu sendiri tanpa kita sedar.


Konsep “ Takkan Melayu hilang di dunia” yang ditekankan penulis bukan mengenai bilangan mahupun warna kulit atau keturunan Melayu itu, tetapi melangkaui paradigma mengenai maruah, nilai dan halatuju insane bernama Melayu. Melayu yang sebenar adalah melayu yang bebas jiwanya , emansipasinya tidak terkongkong dengan penjajahan pemikiran manja – kebergantungan terlalu melampau pada hak keistimewaan melayu tanpa diseiringkan dengan daya usaha untuk sebaris dengan keutuhan daya juang untuk hidup kaum lain yang tanpa dodoian konsep ketuanan.


Antara isi penting lain yang turut disentuh adalah, salah satu kerukunan perkauman semakin terhakis adalah kerana sesetengah daripada kita dimomokkan dengan kisah berbaur prejudis kepada kaum lain. Lebih melihat unsur pesaing atau lebih tepat lagi musush dalam selimut berbanding kawan. Justeru, agak sukar untuk kita merealisaksikan kesatuan dalam nada “Aku anak Malaysia” dengan memperlihatkan sikap saling berprasangka sesama kaum terus menguasai dan terus diwariskan pada generasi seterusnya.


Intipati penting yang terserlah dalam bab “ Democracy vs Special Rights “ penulis meninggalkan satu persoalan yang wajarr untuk kita fikirkan bersama. Adakah Raja berpelembagaan hanya berfungsi menaungi keistimewaan rakyat Melayu sahaja? Siapakah raja kepada rakyat bukan Melayu? Adakah bukan melayu dikategorikan sebagai bukan rakyat di bawah raja – raja ataupun yang Di Pertuan Agong? Bagaimanakah raja-raja ini berperanan menjaga negara sekiranya hanya rakyat berbangsa Melayu sahaja dijaganya?


Dalam bab “ Race politics” penulis membuat sedikit analisa kritis terhadap parti – parti yang terdapat di Malaysia. Bermula dengan ulasan ringkas mengenai perubahan iklim politik Malaysia, penulis cuba mengangkat idea penulis mengenai perubahan negara merentasi parti politik. Melihat UMNO sebagai parti politik bersifat perkauman yang tidak relevan lagi dalam era demokrasi ini, pembangkang juga disifatkan tidak begitu diyakini dapat membuat perubahan besar kepada rakyat melainkan dilakukan beberapa perubahan antaranya parti yang didakwa penulis seperti PAS dan DAP harus lebih terbuka dan tidak terus tenggelam dalam ketaksuban membawa agenda entity tertentu. PKR juga dilihat terlalu bergantung kepada de facto Datuk Seri Anwar Ibrahim. PKR harus membuat persiapan lebih rapi bagi menggariskan nama pemimpin masa hadapan yang mampu menggantikan Anwar. Jika tidak, PKR sebenarnya parti picisan semata. Dalam mengklasifikasikan parti –parti ini; penulis membahagikannya kepada 2 bentuk iaitu “General Interest Party” – memenuhi keinginan semua rakyat tanpa mengira kaum dan “Special Interest Party” – mendokong agenda pihak-pihak tertentu seperti kaum dan agama.


Pada penghujung bab, penulis mendedahkan visi buku ini iaitu membetuk satu pemikiran baru dalam merejuvenasikan keharu- biruan politik hari ini menginjak kepada sesuatu yang dinamakan integriti politik matang. Kurang matangnnya rakyat dalam bermain posisi masing –masing dalam memacu jentera pembangunan mahupun kerukunan negara, lemahnya rakyat kaum majoriti bernama melayu dalam membentuk satu suasana persaingan sihat dengan kaum- kaum lain agar kewibawaannya untuk berdikari mampu berdiri dalam sistem meritokrasi tidak diperlekehkan dan ketidak stabilnya kemantapan parti – parti yang memimpin negara baik BN mahupun PR dalam mengangkat kredibiliti negara di peringkat global, adalah penyakit-penyakit utama yang menghantui negara untuk terus ke hadapan.

Al-Munawirah