SUSAHNYA NAK KHUSYUK
11:39:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin
Malam itu, selepas sahaja solat isyak, pandangan aku tertunduk menyembah bumi. Aku sedih. Sedih sangat dengan kondisi solatku kerana terlalu banyak halangan untuk mencapai maksud solat yang sebenar seperti yang dikehendaki syariat. Sungguh amat sukar untuk aku beri tumpuan sepenuhnya dalam solat, adakalanya tumpuan dan ingatan aku kepada Allah SWT dalam solat hanya sedikit saja. Selebihnya hanyalah ucapan-ucapan yang terlompat dari lidah tanpa kawalan hati dan kesedaran fikiran.

Astaghfirullah...aku beristighfar memohon keampunan dari Rabbi yang Maha Pengampun tatkala air mataku mula jatuh membasahi karpet masjid al-Irsyad. " Yaa Allah, betapa susahnya untuk aku mencapai makna khusyuk. Ketika aku berdiri dalam solatku, aku jarang sekali membayangkan bahawa aku sedang berdiri di hadapanMu, aku tidak membawa ingatan merendah diri, apatah menghina diri. Sebaliknya, aku sering membesarkan diri dan menyombongkan diri ! Astaghfirullahal adzim...ampunilah dosaku. Aku sedar, aku hanya insan hina. Sedangkan Engkau punyai Qudrat yang agung. Aku sedar itu.

Tiba-tiba bahu aku digosok manja. Aku mendongakkan muka ke arah kelibat itu. Hah terkejut aku bila melihat seorang khalis yang agung. Al-Ghazali ! Beliau menghampiriku dan duduk disebelah kananku. Degupan jantung mula hilang rentaknya. Seluruh tubuhku mula menggeletar, tiada satu ungkapan dapatku ucapkan. Kelibat agung itu meleretkan matanya kepadaku. Wajahnya cerah bercahaya. Janggutnya panjang. Tampak alim dan tawaddu' perilakunya.

"Orang muda, solat yang tidak khusyuk dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengigati Allah SWT. ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dan perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tidak akan merasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar", sapa al-Ghazali panjang. Aku hanya masih tergamam, namun aku cuba beranikan diri. "Tuan, maafkan saya. Saya sedar akan kesalahan saya sengaja melalaikan diri dalam solat. Saya tidak cuba sedaya upaya dalam mencapai erti khusyuk dalam solat. Ya, sangat benar kata tuan itu. Saya seringkali melakukan perkara mungkar biarpun solat fardhu dijaga. Saya baca al-Quran tapi saya tidak cuba memahami makna kalam Allah itu. Saya berpuasa, tapi masih sempat melakukan perbuatan keji. Maafkan saya Allah. Tuan, tolonglah saya".

"Anak muda, tidakkah engkau mengerti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam solatnya". Ya, betapa ramai orang yang solat pada zahirnya tapi sebenarnya mereka tidak. Mereka sebenarnya mengigau. Walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akhbar dan lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT namun semua itu tidak termasuk langung dalam pengertian munajat kepada Allah SWT. Orang yang mengigau sebenarnya mereka bertutur di luar sedar. Ini adalah persoalan hati dan at-tafahhum (kefahaman).

Secara mengejut, kelibat agung al-Ghazali meresap hilang. Aku tercari-cari al-Ghazali kerana aku belum puas berbual dengan seorang tawaddu' yang jiwanya sangat hampir dengan Allah. Setiap bait-bait ayat yang terpancul dari lidahnya bak mutiara yang sangat bernilai.

Tiba-tiba, datang seorang yang berjubah dan berserban pula terbang ke arahku. Aku mula gabra ! " Siapakah kamu wahai hamba Allah?", tanya aku dengan nada berani. "Salam perkenalan, saya Aba Abdurrahman", jawabnya Hatim al-Isam. Ya, Hatim al-Isam. Siapa tak kenal beliau. Beliau adalah seorang abid yang unggul. "Saudaraku, saya melihat kamu seperti dalam kedukaan. Kenapa saudaraku", sapa Hatim al-Isam lembut.

"Tuan, saya berasa susah hendak mencapai erti khusyuk salam solat. Saya seringkali lalai. Ingatan saya melayang-layang ingatkan sesuatu keadaan di luar solat. Bolehkah tuan memberi sedikit nasihat pada saya?", aku meluahkan perasaan kepada Hatim.

"Apabila masuk waktu solat, saya akan berwudu' zahir dan batin. Berwudu' zahir seperti yang telah disyaritkan. Berwudu' batin ada 7 perkara iaitu,dengan tobat, menyesali dosa, membersihkan diri dari cinta dunia, tidak mencari dan mengharapkan pujian dari manusia, meninggalkan sifat bermegah-megahan, menjauhi khianat dan menipu, serta meninggalkandengki, papar Hatim".

Ia melanjutkan, "Setelah itu saya pergi ke masjid, saya hadapkan muka dan hati saya ke arah kiblat. saya berdiri dengan penuh rasa malu. saya bayangkan Allah ada di hadapanku, surga di sebelah kananku, neraka di sebelahkiriku, malaikat maut berada dibelakangku. saya bayangkan pula seolah-olah aku berdiri di atas titian Shirathal Mustaqiim dan saya menganggap shalat ini adalah shalat terakhir bagi saya. Kemudian saya berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam shalat
berusaha saya pahami maknanya. saya pun rukuk dan sujud dengan mengecilkan
diri sekecil-kecilnya di hadapan Allah. saya bertasyahud( tahiyyat) dengan penuh pengharapan dan saya memberi salam dengan ikhlas. Seperti itulah shalat yang saya lakukan dalam 30 tahun terakhir".

Aku yang mendengar kata-kata Aba Abdurrahman itu terus menangis sekuat-kuat hati. Betapa ruginya solatku selama hampir 20 tahun ini. "Terima kasih al-Ghazali. Terima kasih Hatim al-Isam. Terima kasih Allah".
Kenapa Anda Berdakwah ? Siri 3 - Saya Nak jadi Wakil
9:59:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

Ketika Parti Refah di Turki mencapai kemuncak kegemilangannya pada pertengahan era 90′an, semua orang berebut mahu mengadakan hubungan dengan Parti Refah. Semua orang berminat mengaitkan dirinya dengan Parti Refah.

Apabila Erbakan digulingkan, Refah diharamkan, cerita tentang Turki sepi seketika. Tambah pula di akhir-akhir 90′an, cakap-cakap orang di kota dan desa, masing-masing menyalahkan Parti Refah kerana terlalu ghairah bermain api dengan tentera. Akibatnya, rampasan kuasa berlaku, ekonomi merudum, pengundi Parti Refah dan mereka yang tidak mengundi semuanya menanggung akibat pendekatan Lose-Lose tentera Turki itu.

Ketika ini, mahu mahu mencari berita tentang Turki pun agak jarang ketemu di media.

IKHWAN AL-MUSLIMIN

Lebih awal dari itu, gerakan Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada tahun 1928, dilihat sebagai pengasas gerakan Islam bermanhaj pasca kejatuhan Khilafah Othmaniyyah. Ia jadi model. Kehebatannya dan ketersusunan gerak kerja Hasan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin jadi rujukan umat Islam sedunia.

Maka muncul pula gerakan-gerakan Islam yang menjadikan Ikhwan al-Muslimin sebagai benchmark. Ukuran kesempurnaan sebuah jamaah itu dibuat berdasarkan sejauh mana mereka memenuhi piawaian IM (Ikhwanul Muslimin).

“Saya lebih Ikhwan dari kamu”

“”Yang itu lebih Ikhwan dari yang ini”

Malah ada pula yang pergi kepada “saya wakil Ikhwan di sini!”

Kemudian timbul pula ayat “saya wakil Ikhwan yang diiktiraf di sini”

Itu sejarah…

PKS PULA

Hari ini, ramai pula yang berebut mahu menjadi wakil Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia di Malaysia.

Mula-mula saya dengar satu dua tempat di kalangan pelajar Malaysia di luar negara, kini berjangkit merebak di kalangan mahasiswa di Malaysia pula.

“Ana ikut usrah PKS”, suatu ayat baru yang muncul kebelakangan ini.

Sudah tentu hanya PKS sahaja yang tahu apakah mereka ada mewakilkan sesiapa untuk menjadi duta mereka di sini, tetapi saya lebih melihat kepada sikap self-proclaim yang berpenyakit di kalangan anak muda ini.

Ketika PKS kelihatannya begitu aktif, cergas dan mendapat sambutan luar biasa di Indonesia, penyakit lama kita berulang kembali.

Jika dulu mahu jadi wakil Ikhwan, kemudian mahu jadi wakil Refah dan kini mahu menjadi wakil PKS pula.

Sikap sebegini menjadi indikator kepada lemahnya jati diri kita dalam mengendalikan kerja-kerja Islam. Tentu sahaja saya merafa’ syukur kerana sedar bahawa jumlah orang muda yang mahu terbabit dengan dakwah dan peduli kepada masalah umat, masih amat kecil.

Jika solat, puasa, zakat dan haji dikatakan urusan al-Quran, tiada siapa yang berasa janggal. Tetapi apabila al-Quran yang sama bercakap tentang dakwah, ramai pula yang pelik dan memencilkan diri.

PINTU DAKWAH ADALAH AL-FAHMU

Namun pintu dakwah adalah al-Fahmu. Kefahaman… Hasan al-Banna sendiri merukunkan al-fahmu sebagai rukun pertama komitmen seseorang kepada gerakan Islam.

Ia hanya lanjutan tuntutan Islam, memulakan sesuatu dengan ilmu. Bab Aqidah pun Allah SWT sebut, “Dan ketahuilah kamu (beradalah kamu dalam pengetahuan) bahawa tiada Ilah melainkan Allah!” (Al-Quran 47: 19)

Maka penglibatan seseorang dalam gerakan Islam harus ada kefahaman yang jelas tentang apa yang diperjuangkan. Menerima bulat-bulat mana-mana idea tanpa upaya menyaring dan menyesuaikan teori dengan realiti, akan menjadikan gerakan Islam itu sama ada bermimpi dalam utopia, atau gagal berpijak di bumi nyata. Lebih tidak baik, jika gerakannya mencetus fasad kepada umat.

Faham tidak datang dari minda fotokopi. Ilmu gerakan yang menggerakkan ummah bukan ilmu hafazan. Ia harus datang dari ketelitian membaca teori dan waqi’, lalu disesuaikan antara keduanya.

Faham itu juga harus meliputi fahamnya kita terhadap kesan tindak tanduk yang dilakukan. Saya khuatir dengan permainan idealistik anak-anak muda ini merugi dan membazirkan masa serta tenaga mereka tanpa berpijak di bumi yang nyata.

KELEBIHAN DAN KELEMAHAN

Lihat sahaja gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin. Tidak dinafikan, usianya sebagai gerakan Islam tertua menjadikan ia sebagai sebuah gerakan yang sangat berpengalaman. Namun ia bukan jaminan bahawa semua yang dibuat oleh Ikhwan, mesti dibuat juga oleh gerakan Islam lain demi kesempurnaan. Ikhwan sendiri ada cabarannya yang tertentu dan mereka yang pernah bermastautin di negara Arab lebih mudah untuk faham bahawa Ikhwan juga merupakan sebuah gerakan yang ahlinya adalah manusia. Saya ulangi, MANUSIA…!

Tidak lupa juga kepada Parti Refah. Kelebihannya banyak, namun banyak juga perkara yang menjadi kekurangan mereka.

Sepatutnya mereka yang berada di Malaysia, memanfaatkan badan yang sedia ada dengan mengukuh dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada kerana gerakan-gerakan inilah yang hidup di Malaysia dan tahu serba serbi tentang kelakuan minda dan emosi orang kita. Malah pertubuhan-pertubuhan Islam yang sedia ada ini menanti suntikan segar generasi baru untuk menganjak pergerakan masing-masing ke arah yang lebih baik.

MISALNYA PAS

PAS misalnya, mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan usia penglibatannya di dalam caturan dakwah dan politik negara. Usianya yang senior dan tua itu menjadi kelebihan. Tetapi orang tua juga ada penyakitnya sendiri. Ketuaannya boleh menjadi punca ia sulit membuat perubahan, ketika perubahan menjadi faktor survival.

Contohnya, PAS sedari awal telah menyatakan dengan tegas tentang matlamatnya menubuhkan Negara Islam. Negara Islam itulah faktor yang menarik orang kepadanya dan ia menjadi unsur kekuatan untuk PAS pada suatu jangka masa yang agak panjang.

Tetapi dengan bertambahnya bilangan penduduk non Muslim yang well educated, maka persoalan Negara Islam semakin ditekan dan memperincikannya menjadi suatu tuntutan. Masyarakat non Muslim di Malaysia membaca bahan yang sama yang dibaca oleh masyarakat Barat. Pergi sahaja ke Kinokuniya, Borders dan kedai-kedai buku antarabangsa, semua buku yang mencorakkan pemikiran masyarakat Barat tentang Islam, ada di situ dan ia dibaca. Maka jika kita melihat Islamophobia sebagai cabaran kepada Islam dan Muslim di negara Barat, terimalah hakikat bahawa Islamophobia juga adalah fenomena yang mencabar gerakan Islam di Malaysia sendiri.

Oleh yang demikian, Negara Islam yang bertaraf slogan dan draf kasar, tidak cukup untuk meyakinkan pengundi, khususnya di kawasan urban Malaysia. Ia mesti diperincikan. Dan jika proses memperincikannya menghasilkan suatu idea bahawa konsep Negara Islam boleh diperjuangkan tanpa perlu menyebut Negara Islam, bersediakah PAS untuk melakukannya? Sekurang-kurangnya kerjasama PAS dengan DAP masih berlegar di sekitar isu ini.

FLEKSIBILITI

AKP telah mencapai kemenangan di Turki, selepas ia sanggup memanfaatkan fleksibiliti dalam mencorakkan inti perjuangannya. Jika selama ini sekularisma dianggap sebagai penekan agama agar tidak campur tangan dalam pemerintahan, maka AKP mahu memanfaatkan sudut sebalik definisi itu, iaitu sekularisma juga menuntut agar pihak pemerintah tidak campur tangan urusan agama! Maka itu yang AKP mahukan dari komitmen mereka kepada sekularisma. Tentera, parlimen dan Polis tidak patut campur tangan dalam urusan agama individu kerana itu merupakan sebahagian dari tuntutan sekularisma itu sendiri.

Hingga begitu sekali AKP berusaha untuk menggarap isu apa Islam dan apa sekularisma demi perjuangannya. Biar pun dibantah oleh Ikhwan al-Muslimin malah oleh Parti Saadet pimpinan guru AKP iaitu Prof Necmettin Erbakan. Tetapi perubahan yang dibuat oleh AKP itu menghasilkan sokongan lebih 40% berbanding Parti Saadet yang hanya menerima sekitar 2% undi.

Jika PAS perlu melakukan perubahan kepada caranya mendefinisikan Negara Islam dan agendanya kepada masyarakat Malaysia, bersediakah PAS untuk fleksibel dalam menggarapnya?

Andai fleksibiliti itu mahu dirujuk kepada sumber Islam, kita bisa ketemu dengannya di pelbagai peristiwa di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW.

Lihat sahaja Peperangan Hudaibiyyah. Delegasi Mekah enggan menandatanganinya jika Muhammad SAW memeterakan dirinya sebagai “RASULULLAH”. Alasan mereka jelas. Jika kami menandatangani perjanjian dengan seorang Rasul, maka salahlah kami jika kami tidak patuh kepada kamu! Tetapi Rasulullah SAW tidak teragak-agak untuk menggugurkan form demi substance. Baginda ada hak untuk bermati-matian mempertahankan title Rasulullah itu kerana Allah SWT sendiri yang mengurniakannya. Tetapi apa yang ada pada gelaran itu, berbanding maslahah besar yang ditawarkan oleh Perjanjian Hudaibiyyah berkenaan iaitu gencatan senjata yang menjanjikan keamanan. Keamanan itu yang mahu dikejar, demi meluaskan medan dakwah.

Maka saya kira, PAS memerlukan kepada banyak idea dan sokongan pemikiran serta gerak kerja untuk membantunya terus mengekalkan ciri dinamiknya selama ini. Tetapi usia tua PAS dan keahliannya yang terbuka kepada SEMUA lapisan rakyat, menjadikan proses ini sebagai suatu cabaran yang bukan calang-calang.

ABIM, JIM DAN TABLIGH

Selain PAS, gerakan-gerakan Islam yang lain juga memerlukan kepada banyak usaha penambah baikan. ABIM yang juga begitu lama berdiri di daerah perjuangan Islam, rancak meneroka pelbagai aspek baru dalam perjuangan. Anak-anak mudanya kelihatan begitu bersemangat mencuba pelbagai idea baru untuk menambahkan keberkesanan gerak kerjanya, dan semua ini sangat memerlukan kepada sokongan idea dan tenaga kerja yang besar.

Begitu juga dengan JIM, di samping pertubuhan yang lebih akar umbi seperti Tabligh dan sebagainya.

Malah kesemua gerakan ini harus jujur menganjakkan diri mereka kepada kerjasama yang lebih kukuh kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang menjadikan kita saling memerlukan. Gerakan-gerakan ini sudah cukup banyak untuk menguruskan dakwah dan siasah di Malaysia yang hanya ada sekitar 24 juta penduduk. Manfaatkanlah apa yang sedia ada dan bentuklah pemikiran dan ideologinya agar benar-benar Malaysia.

Itu tuntutan al-Hikmah… acuan Ikhwan sesuai dengan tempatnya, acuan Refah atau AKP sesuai dengan tempatnya. Kita mengkaji dan belajar tentang gerak kerja mereka bukan dengan maksud mahu fotostat, apatah lagi membuat dakwaan menjadi wakilnya.

Semua ini sudah cukup mendesak kita untuk menumpukan tenaga, fikiran dan masa kepada proksi dakwah yang sedia ada. Bermain-main dengan idea “saya mahu menjadi wakil” akan menjadi jenayah kepada ummah jika kesudahannya hanyalah pembaziran. Ingat, jalan perjuangan itu panjang, bukan sekadar tahun-tahun bilangan jari di kampus semata!

SUKA MENGIDOLA

Kekaguman terhadap kejayaan dan kehebatan mana-mana badan Islam atau tokohnya, tidak seharusnya menghasilkan perbuatan menyalin mutlak badan atau tokoh berkenaan. Ia lebih kepada sikap yang mudah idolasi membuta tuli yang menumpulkan minda dan perjuangan.

Saya amat berharap agar pengalaman dan kelebihan yang ada pada PKS apatah lagi realiti Indonesia yang memiliki modal insan pada kuantiti yang sangat besar itu, dapat dipelajari dan dimanfaatkan oleh gerakan-gerakan Islam di Malaysia. Tetapi adalah sesuatu yang cukup tidak kena apabila muncul kecenderungan mahu menjadi wakil PKS di Malaysia.

Apatah lagi dari kalangan anak muda yang memang suka mencuba. Daripada cuba merokok dan mencuba fesyen terkini, sampailah kepada cuba mengenengahkan kepelikan mengheret masa sendiri dan rakan-rakan kepada suatu penyakit lama yang diperbaharui… saya mahu menjadi wakil!

Saya tidak punya apa-apa kuasa untuk menahan atau menggalakkan sesiapa. Ia hanya pandangan peribadi.

Semoga idealistik orang muda tidak sampai memencilkan realistiknya persekitaran yang ada…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Kerinduan
12:49:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin

Assalamualaikum wbt,

Dah lama tak buka dan update blog ni. Almaklumlah, sibuk memanjang jer (huhu!). banyak sungguh tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dari hari ke hari. study dan kerja-kerja persatuan, banyak lagi yang statusnya pending dalam daily planner dan ntah bila nak wat. tapi insyaALlah, semuanya akan terasa mudah dan ringan kalau matlamatnya jelas, iaitu buat kerja untuk islam dan bukan untuk persatuan islam.

kita kena hayati konsep 'dakwah inside-out' dan bukannya 'dakwah outside-in'. kenapa yer?

dakwah outside-in :

1. Dakwah itu suatu kewajipan
2. Dakwah itu suatu tuntutan
3. Dakwah itu suatu tambahan kepada keislaman

Kesan dakwah outside-in :

1. Dakwah terasa berat
2. Dakwah tidak natural
3. Dakwah pasang surut dan hilang signifikasi

tapi lain pula kalau kita faham dan ikut konsep dakwah inside-out

dakwah inside-out :

1. Dakwah itu keperluan sebelum kewajipan
2. Dakwa itu suatu keseronokan
3. Dakwah tu natural, sebahagian daripada keperluan islam

Kesan dakwah inside-out :

1. Dakwah dengan penuh desire ‘The Burning Desire’
2. Dakwah lebih ‘stabil’ merentas usia.

“Kisah peperangan yang dilalui oleh Nabi SAW benar-benar memberikan pengajaran yang bermakna kepada kita semua sebagai umatnya. Perang bagi nabi bukan bertujuan menghancurkan musuh semata-mata, malah yang sebetulnya ialah menghapuskan kejahatan dan memalingkan musuh kepada kebenaran.
Apabila kita berperang kerana membela bangsa, maka bukan jihad namanya. Jika kita berperang kerana kepentingan diri atau gerakan, itu juga bukan jihad. Berperang dalam erti kata sebenar ialah kerana ingin menegakkan kalimah Allah. Maka Allah SWT telah meletakkan syarat-syarat asasi yang mesti diikuti dalam medan peperangan.
Kesatuan sangat penting dalam berjihad. Berada dalam satu saff yang teratur, taat kepada perintah ketua, mendahulukan yang terpenting, jangan pentingkan diri sendiri, memulakan dengan nama Allah yang Maha Mulia, menjauhi maksiat dan memperkasakan taat, serta sentiasa memperbetulkan niat.
Saya ucapkan selamat berseida buat semua jentera yang bakal berjihad. Pamerkan keizzahan Islam, pasti gerakan anda digeruni. Jangan hanya izzahkan persatuan Islam kelak anda akan diketawakan. Moga anda memahami maksud tersirat saya.” – ust Dzulkhairi.
Jejak Explorasi Diri 2008 [ JED' 08 ]
12:12:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

JEJAK EXPLORASI DIRI 2008
JED'08


Masih belum tahu tujuan kita hidup?
Masih belum mengenali diri sendiri?
Masih tidak tahu potensi diri sendiri?
Bosan dengan suasana dan persekitaran yang sama?

Jangan biarkan persoalan tersebut membelenggu fikiran anda.

Institusi Usrah akan mengadakan program 3 hari 2 malam untuk sama-sama kita menjejaki diri kita yang sebenar bagi memaknakan hidup yang sementara ini. InsyaAllah, program ini
dapat membantu anda menjawab tanda tanya tersebut.

Bila?
19 - 21 Disember 2008
(Jumaat - Ahad)

Di mana?
Taman Hutan Lagenda, Johor

Apa aktivitinya?
"Musafir Cinta"
"Sinergi Mantop"
"Santapan Ukhuwwah"
"Dari Minda, Turun ke Hati"
"Badan Sihat, Otak Cerdas"
"Indahnya Saat BersamaMu"
"Bacalah Dengan Nama Tuhanmu"

Bayaran?
RM 10 sahaja

Berminat?
Sila daftarkan nama kepada exco biro masing-masing atau mana-mana tanzim IU sebelum 13 Disember, jam 00:00.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini!


Institusi Usrah
Multimedia University
Kampus Melaka





Usrah, Meeting, Program dan...?
6:57:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Usrah, Meeting, Program dan...?
www.iLuvislam.com
mudzakkir
editor : kasihsayang

Tariq melabuhkan badannya ke tilam murah di rumah sewa setelah penat membawa usrah sebentar tadi. Dia menyiapkan beberapa tugasan untuk dihantar pada pensyarah pagi esok. Selesai saja tugasan, Tariq terpaku seketika dek terkenangkan ahli-ahli usrah yang dibawanya... Adakala rasa seronok berkongsi pandangan dengan mereka. Tapi... "Ahh... Malas la nak fikir, tidur lagi bagus", detik hatinya. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi.

Sebelum Subuh lagi Tariq bangun untuk bersiap-siap ke surau. Dengan mata yang bengkak kerana tak cukup tidur, dia jalan terhuyung-hayang menuju ke surau berdekatan setelah mengambil wudhuk di rumah. Selesai solat berjamaah, ia berzikir sambil 'menunduk-nudukkan kepala' tanda sangat 'khusyuk' dalam zikirnya. "Alahai.. mengantuknya. Balik rumah je la. Boleh landing kejap sebelum ke kuliah.."

"Tariq...! Awak mengantuk lagi, pergi basuh muka", tegur pensyarahnya, Dr. Syarah. Mata Tariq cerah semula. Ramai pelajar tersenyum sinis memandangnya. "Alamak... kantoi lagi aku dengan Dr. Syarah", getus hatinya. Tariq membuat muka selamba seolah tiada apa-apa yang berlaku. Pensyarah itu meneruskan syarahnya walaupun mata Tariq masih lagi 'bergelombang' sayup-sayup layu mata memandang.

Sedang mendengar kuliah dengan mata kemerah-merahan, handphone Tariq vibrate menandakan ada call atau sms dari seseorang. "Salam. Jangan lupa 8.15 malam ni diadakan meeting di aras jamaah, fakulti program." Begitulah pesanan sms yang tertulis dari kawan seusrahnya, Mutarriq. "Meeting lagi", keluh hatinya. "Malam tadi dah usrah, malam ni meeting pulak", tambah hatinya. Selesai hantar tugasan dan kuliah 'tidur' jam 10.30 pagi, Tariq meluru ke motornya sambil membelek buku kecilnya jika ada perkara-perkara yang perlu dilakukan.

"Ishh... Yang ni tak buat lagi, yang ni pun tak buat lagi. Hari ni dah Khamis, program hari Sabtu. Apa aku nak jawab dengan Mutarriq malam nanti?" tanya hatinya. Mahu tak mahu Tariq pulang ke rumahnya. Ia membuka komputer sambil menaip-naip sesuatu sambil memicit kepalanya. "Ok. Kuliah lambat lagi. Pukul 2.00 petang. Boleh aku siapkan kerja aku ni", cetus hatinya sambil melihat jam tangannya yang menunjukkan pukul 11.00 pagi.

Setelah dua jam berhempas pulas, akhirnya kerja yang berkaitan dengan program Sabtu terdekat selesai. "Alhamdulillah..." syukur Tariq padaNya kerana memudahkan urusannya. Tariq cukup yakin akan pertolongan Allah bagi orang yang menolong agamaNya. Selesai solat Zohor, Tariq bergegas ke fakulti untuk kuliah. Dengan macho ia masuk ke kelas. Belum sempat Tariq duduk dan bertegur sapa dengan kawannya, pensyarah berkata, "Ok kelas, kita ada kuiz sekarang. Sila tutup buku dan nota". Hilanglah macho Tariq apabila mendengar perkataan keramat itu. Mulutnya ternganga kelu tanpa kata. "Habis la aku kali ni... Satu apa pun aku tak baca", kata hatinya.

Timbullah suara-suara jahat Azazil: "Itulah kau. Sibuk usrah, meeting, program memanjang sampai belajar entah ke mana. Kalau kau belajar saja kan bagus. Mesti kau boleh score punya. Usrah, meeting, program ni lepas belajar pun boleh buat. Malam esok kamu pulak ada usrah di rumah Pak Cik Murabbi. Bila pulak kamu nak study? Haa.. Jawab, jawab...!". Tariq tak jawab apa-apa oleh kerana kagetnya sambil mulut ternganga. Lebih jahat lagi Azazil menghasut: "Kamu nak mintak tolong siapa sekarang. Pak Cik Murabbi tak dapat tolong kamu. Jamaah pun tak dapat tolong kamu. Allah tak tolong kamu. Fail nanti kamu jugak yang susah." Walaupun sedang dilema, Tariq meneruskan kuiznya sekadar yang termampu.

"Tariq mesti istiqamah dalam perjuangan...", kata Pak cik Murabbi setelah Tariq mengadu masalahnya. "Belajar tu wajib. Kamu mesti bersedia sepanjang masa", tambahnya lagi. "Tapi Pak Cik, macam mana? Setiap hari ada saja kerja yang perlu dibuat sampai tak sempat nak study", kata Tariq. "Masing-masing diberikan masa secukupnya, cuma kita yang tak pandai menggunakannya", jawab Pak Cik Murabbi. "Banyak lagi masa yang kita ada. Cuba kamu kira, berapa lama berbual-bual dengan kawan? Berapa lama melayari internet? Berapa lama menonton televisyen? Berapa lama bermain games? Berapa lama makan di gerai?" tambahnya.

"Semua itu pencuri masa kita. Kurangkan masa-masa tersebut dan Tariq pasti ada masa untuk study", tegasnya. Lantas Pak Cik berpesan kepada Tariq sebelum pulang dari usrah: "Jangan salahkan perkara atau orang lain jika salah itu datang daripada diri kita sendiri. Salah kita kerana tidak pandai menguruskan masa. Orang lain pun lebih sibuk daripada awak dan ia juga berjaya dalam pelajarannya. Ia juga diberi 24 jam sehari seperti awak." Amat tepat sekali jawapan Pak Cik Murabbi kepada Tariq dan menimbulkan kembali semangat juangnya untuk Islam dan tidak melupakan masa untuk belajar.

Namun, Tariq bertanya: "Siapa orang lain yang berjaya tu Pak Cik?". Dengan selamba Pak Cik Murabbi menjawab: "Pak Cik la orang lain tu. Nak bagitau nama orang lain Pak Cik tak tau...", sambil senyum meleret pada Tariq sambil ternampak gigi. "Terima kasih atas nasihat Pak Cik", kata Tariq sambil tersenyum. Tariq pulang bersama mutiara berharga dari Pak Cik Murabbi yang juga cemerlang dalam usrah, meeting, program dan... AKADEMIK semasa belajar dahulu.

"Masa adalah kehidupan" @ "al-waqtu huwa al-hayah". sedetik masa berlalu, berkurang sudah umur kita. Masa yang berlalu, umur yang makin berkurang, bertambahkah amal kita? Tepuk dada, tanya iman.


credit to : iluvislam.com

Kak Zinniey.com