SUSAHNYA NAK KHUSYUK
11:39:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin
Malam itu, selepas sahaja solat isyak, pandangan aku tertunduk menyembah bumi. Aku sedih. Sedih sangat dengan kondisi solatku kerana terlalu banyak halangan untuk mencapai maksud solat yang sebenar seperti yang dikehendaki syariat. Sungguh amat sukar untuk aku beri tumpuan sepenuhnya dalam solat, adakalanya tumpuan dan ingatan aku kepada Allah SWT dalam solat hanya sedikit saja. Selebihnya hanyalah ucapan-ucapan yang terlompat dari lidah tanpa kawalan hati dan kesedaran fikiran.

Astaghfirullah...aku beristighfar memohon keampunan dari Rabbi yang Maha Pengampun tatkala air mataku mula jatuh membasahi karpet masjid al-Irsyad. " Yaa Allah, betapa susahnya untuk aku mencapai makna khusyuk. Ketika aku berdiri dalam solatku, aku jarang sekali membayangkan bahawa aku sedang berdiri di hadapanMu, aku tidak membawa ingatan merendah diri, apatah menghina diri. Sebaliknya, aku sering membesarkan diri dan menyombongkan diri ! Astaghfirullahal adzim...ampunilah dosaku. Aku sedar, aku hanya insan hina. Sedangkan Engkau punyai Qudrat yang agung. Aku sedar itu.

Tiba-tiba bahu aku digosok manja. Aku mendongakkan muka ke arah kelibat itu. Hah terkejut aku bila melihat seorang khalis yang agung. Al-Ghazali ! Beliau menghampiriku dan duduk disebelah kananku. Degupan jantung mula hilang rentaknya. Seluruh tubuhku mula menggeletar, tiada satu ungkapan dapatku ucapkan. Kelibat agung itu meleretkan matanya kepadaku. Wajahnya cerah bercahaya. Janggutnya panjang. Tampak alim dan tawaddu' perilakunya.

"Orang muda, solat yang tidak khusyuk dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengigati Allah SWT. ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dan perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tidak akan merasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar", sapa al-Ghazali panjang. Aku hanya masih tergamam, namun aku cuba beranikan diri. "Tuan, maafkan saya. Saya sedar akan kesalahan saya sengaja melalaikan diri dalam solat. Saya tidak cuba sedaya upaya dalam mencapai erti khusyuk dalam solat. Ya, sangat benar kata tuan itu. Saya seringkali melakukan perkara mungkar biarpun solat fardhu dijaga. Saya baca al-Quran tapi saya tidak cuba memahami makna kalam Allah itu. Saya berpuasa, tapi masih sempat melakukan perbuatan keji. Maafkan saya Allah. Tuan, tolonglah saya".

"Anak muda, tidakkah engkau mengerti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam solatnya". Ya, betapa ramai orang yang solat pada zahirnya tapi sebenarnya mereka tidak. Mereka sebenarnya mengigau. Walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akhbar dan lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT namun semua itu tidak termasuk langung dalam pengertian munajat kepada Allah SWT. Orang yang mengigau sebenarnya mereka bertutur di luar sedar. Ini adalah persoalan hati dan at-tafahhum (kefahaman).

Secara mengejut, kelibat agung al-Ghazali meresap hilang. Aku tercari-cari al-Ghazali kerana aku belum puas berbual dengan seorang tawaddu' yang jiwanya sangat hampir dengan Allah. Setiap bait-bait ayat yang terpancul dari lidahnya bak mutiara yang sangat bernilai.

Tiba-tiba, datang seorang yang berjubah dan berserban pula terbang ke arahku. Aku mula gabra ! " Siapakah kamu wahai hamba Allah?", tanya aku dengan nada berani. "Salam perkenalan, saya Aba Abdurrahman", jawabnya Hatim al-Isam. Ya, Hatim al-Isam. Siapa tak kenal beliau. Beliau adalah seorang abid yang unggul. "Saudaraku, saya melihat kamu seperti dalam kedukaan. Kenapa saudaraku", sapa Hatim al-Isam lembut.

"Tuan, saya berasa susah hendak mencapai erti khusyuk salam solat. Saya seringkali lalai. Ingatan saya melayang-layang ingatkan sesuatu keadaan di luar solat. Bolehkah tuan memberi sedikit nasihat pada saya?", aku meluahkan perasaan kepada Hatim.

"Apabila masuk waktu solat, saya akan berwudu' zahir dan batin. Berwudu' zahir seperti yang telah disyaritkan. Berwudu' batin ada 7 perkara iaitu,dengan tobat, menyesali dosa, membersihkan diri dari cinta dunia, tidak mencari dan mengharapkan pujian dari manusia, meninggalkan sifat bermegah-megahan, menjauhi khianat dan menipu, serta meninggalkandengki, papar Hatim".

Ia melanjutkan, "Setelah itu saya pergi ke masjid, saya hadapkan muka dan hati saya ke arah kiblat. saya berdiri dengan penuh rasa malu. saya bayangkan Allah ada di hadapanku, surga di sebelah kananku, neraka di sebelahkiriku, malaikat maut berada dibelakangku. saya bayangkan pula seolah-olah aku berdiri di atas titian Shirathal Mustaqiim dan saya menganggap shalat ini adalah shalat terakhir bagi saya. Kemudian saya berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam shalat
berusaha saya pahami maknanya. saya pun rukuk dan sujud dengan mengecilkan
diri sekecil-kecilnya di hadapan Allah. saya bertasyahud( tahiyyat) dengan penuh pengharapan dan saya memberi salam dengan ikhlas. Seperti itulah shalat yang saya lakukan dalam 30 tahun terakhir".

Aku yang mendengar kata-kata Aba Abdurrahman itu terus menangis sekuat-kuat hati. Betapa ruginya solatku selama hampir 20 tahun ini. "Terima kasih al-Ghazali. Terima kasih Hatim al-Isam. Terima kasih Allah".
This entry was posted on 11:39:00 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

4 Komentar:

On December 29, 2008 at 11:49 PM , Anonymous said...

Ini masalah diri setiap seorang bergelar manusia sekarang. Antara sedar atau tidak, apatah lagi yang sengaja.

~Salam Maal Hijrah~

 
On December 30, 2008 at 1:52 AM , Hanif Amir said...

Aha.

Khayalan indah bertemu Hujjatul Islam dan Abid.

Latar tempatnya juga menarik! Aku juga mahu memori seperti itu!

 
On January 7, 2009 at 4:28 PM , Mohd Dzul Khairi Mohd Noor said...

Saya Dzul Khairi. Cerita anda menarik. Tahniah

 
On July 24, 2009 at 10:53 PM , ihtisyam_zunnur said...

subhanaAllah...
moga dapat kita gapai solat yg berkualiti dan moga ibadat kita diterima Allah...insyaAllah...