Percaya Untuk Berjaya
8:16:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin

“Apa maksud jundullah?”, soal ustaz ringkas.

“Ustaz, jundullah adalah tentera Allah”, jawab beberapa sahabat yang lain.

“Hizbullah. Siapa yang tahu hizbullah tu apa?”, soal ustaz.

“Parti Allah”, saya menjawab dalam hati.

Kami memulakan usrah malam itu dengan kopakan ilmu yang terdapat dalam kitab Jundullah : Thaqafatan wa Akhlaqan. Kitab yang dikarang oleh Sheikh Sa’id Hawwa, tokoh gerakan Islam yang berjiwa sufi.

Ustaz membawa kitab Jundullah : Thaqafatan wa Akhlaqan itu sekadar selingan kepada kitab asal yang sedang dikupas dalam usrah sebelum-sebelum ini, iaitu Thaqofah Dai’eyyah.

Usrah malam itu berlalu dengan damai dan sarat dengan perbincangan.

Ia sangat menyeronokkan :)

ANALOGI

“Jamaah = Hizbullah = Kenderaan”, itu nota yang aku catat lewat penerangan ustaz yang berkisar soal yang berkaitan dengan Hizbullah yang terkandung dalam kitab tersebut.

Kita seharusnya mengenalpasti jenis kenderaan apa yang kita naiki.

Sebagai contoh, jika kita dari Malaysia hendak ke Mekah, jenis kenderaan apa yang perlu kita naiki?

Nak naik basikal? Boleh. Tetapi ia sangat menyusahkan dan barangkali kita tidak akan sampai ke destinasi disebabkan jarak yang terlalu jauh dan sempadan-sempadan Negara yang menyusahkaan hasil ciptaan kolonial.

Jadi nak naik apa?

Naiklah kapal terbang.

Kenderaan yang sudah lama ada bagi mengangkut penumpang ke destinasi yang jauh dan tinggi yang mungkin sukar bagi kenderaan-kenderaan lain.

Walaupun risikonya tinggi, tetapi kenderaan itu bakal memudahkan perjalanan kita untuk ke Mekkah.

Begitu analogi yang ustaz lontarkan untuk kami semua fikirkan.

Jelas.

“Begitu juga dengan jamaah Islam. Banyaknya jamaah Islam yang muncul pada hari ini umpama banyaknya kenderaan yang boleh digunakan untuk sampai ke Mekah. Cuma, berbeza jalan dan approach”, tambah ustaz.

HIZBULLAH

Kata Hizbullah disebut dalam Al Qur’an sebanyak dua kali.

Pertama di surah Al Mujaadilah dan yang kedua di surah Al Maaidah.

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalam-Nya. Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.”
(QS. Al Mujaadilah:22)

“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mu’min, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”

(Al Maidah : 54-56)

Dengan demikian, hizbullah memiliki arah, yang cirinya adalah seperti berikut :
1. Membebaskan diri dari musuh-musuh Allah dan Rasul-Nya. Secara praktikal dengan tidak memberikan ketaatan kepada mereka, dan secara batin dengan tidak menyimpan kecintaan kepada mereka.
2. Memberikan wala ‘loyalitas’ kepada kaum mu’minin dalam bentuk praktikal dan menumbuhkan kecintaan dalam hati. Kaum mu’minin yang berhak diberikan wala’ ini adalah mereka yang telah melengkapi syarat keimanan, mendirikan solat dan menunaikan zakat.

Sasaran-Sasaran Utama Hizbullah :
1. Membentuk keperibadian manusia secara islami
2. Mendirikan negara Islam di setiap daerah (Tatbiq Syariatul Islamiyyah)
3. Menyatukan umat Islam
4. Menghidupkan kembali sistem khilafah
5. Mendirikan daulah Islamiyyah

Peringkat pertama kita semua sedang lalui. Iaitu dengan usaha-usaha untuk membaiki individu muslim melalui sentuhan tarbiyyah fikriyyah, ruhiyyah, amaliyyah dan sebagainya.

Peringkat kedua kita juga sedang lalui. Salah satunya melalui penglibatan politik Islam dalam usaha memenangkan agama Allah dengan menegakkan syariatNya dalam sesebuah Negara.

Peringkat-peringkat yang selanjutnya kita masih belum dapat rasai walaupun sedikit.

Tapi kita yakin, Islam akan menang.

Walaupun, masih jauh.

Pelikkah?

Kita belum pernah melihat Syurga. Tetapi kita percaya. Dan kita saban hari bekerja keras untuk melihat apa yang kita percaya.

Kita sudah lama tidak mendengar tentang kemenangan Islam. Belum pernah melihat bangkitnya kebenaran. Tetapi kita percaya. Dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.

MOTIVASI AKHIR

Nasihat ustaz Hasrizal, saya pegang kemas bahawa, kita harus percaya untuk berjaya.

“Kota Constantinople itu akan berada di tangan umat ini”, pesan Baginda SAW kepada sahabat yang keletihan di medan Khandaq.

Constantinople?

Janji itu keterlaluan.

Masakan tidak. Penduduk Madinah hanya segelintir. Mereka itu pula antara hidup dan mati, tatkala dikepung segenap Barisan Nasionalis Arab yang bergabung membentuk tentera Ahzab. Tiba-tiba baginda SAW memberikan janji bahawa kita yang kecil, antara hidup dan mati ini, akan menundukkan Constantinople, kota terbesar di dunia itu.

Apakah ini suatu kemustahilan?

Beginilah cara Nabi SAW memotivasikan sahabat.

Percaya selepas melihat sesuatu, tiada nilai iman. Ia hanya suatu ikrar pada sesuatu yang telah ada hasilnya. Percaya seperti ini percaya murahan yang tidak berhajatkan kepada usaha dan pengorbanan.

Namun Baginda SAW mengajar para sahabat supaya percaya sebelum melihat sesuatu, dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Itulah hebatnya motivasi minda mukmin profesional.

Mereka percaya sebelum melihat dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, namun kita mempercayainya. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Kita juga belum pernah melihat kemenangan Islam, bahkan diselubungi kekalahan demi kekalahan. Namun kita percaya bahawa hari esok adalah untuk Islam. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Bahawa kemenangan adalah milik Islam.

Andai cukup syarat-syaratnya.

Your Choice
7:37:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

Kita tidak dapat mengubah di mana tempat kita bermula, tetapi kita boleh ubah arah tempat yang kita tuju. Ia tiada kaitan dengan apa yang kita mahu buat, tetapi apa yang kita lakukan sekaranglah yang penting.
Final Montaj Promo KN'10
8:00:00 PM | Author: Nik Muhammad Amin





Kiamat bukanlah satu perkara baru yang dibincangkan manusia. Bahkan mempercayai akan berlakunya kiamat adalah wajib bagi umat Islam dan ianya merupakan rukun iman yang ke 5. Dalam al-quran dan hadis telah di perihalkan bahawa sebelum berlakunya kiamat, beberapa tanda- tanda kecil dan besar akan berlaku ke atas manusia akhir zaman. Salah satu tanda hampirnya hari kiamat ialah, perpecahan umat Islam.

Islam merupakan sebuah agama suci yang menekankan semangat persaudaraan sesama muslim dan menyuruh umatnya untuk bersatu padu dalam menjalankan dakwah dan mengembangkan agama Allah. Pepatah melayu juga ada menyebut, ‘bersatu teguh, bercerai roboh’. Namun begitu,sejak akhir-akhir ini, kita sering terdengar perihal penindasan yg dilakukan terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia. Afghanistan, Iraq, Bosnia, dan Palestin adalah contoh negara yang menjadi mangsa kekejaman golongan kafir.

Manusia berada di dalam kehinaan di mana sahaja kecuali mereka menghubungkan diri dengan Allah dan berpadu di dalam ummah. Bumi Palestin yang menjadi tapak Masjidil Aqsa masih tidak dikuasai umat Islam kerana tiadanya perpaduan. Pemimpin – pemimpin Islam tidak duduk semeja membincangkan hal ummah secara serius dan saling berselisihan dek perbezaan mazhab dan pendapat. Ada perumpamaan yang mengatakan, sekiranya semua umat Islam meludah atas negara haram Israel, nescaya boleh tenggelam negara itu. Tanpa perpaduan, umat Islam akan binasa.

Kesedaran umat Islam akan pentingnya perpaduan di zaman ini amatlah kurang. Gaya hidup masyarakat kini yang sibuk mengejar cita-cita dunia telah melalaikan mereka daripada menyedari perihal akhir zaman ini. Justeru, Institusi Usrah berasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab memberi kesedaran dan berda’wah dengan mengajak masyarakat untuk kembali menghayati tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dan khalifah di muka bumi ini dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, serta berpegang teguh pada aqidah yang dibawa Rasulullah S.A.W. Oleh itu, Institusi Usrah mengambil inisiatif untuk menganjurkan sebuah Konsert Nasyid yang bertemakan Fenomena Akhir Zaman.

http://konsertnasyid10.blogspot.com/


Semester Yang Penuh Liku
9:59:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin

ALHAMDULILLAH…

Sungguh pantas masa berlalu, sudah hampir empat tahun aku hidup bergelar sebagai seorang mahasiswa di bumi Multimedia University. Pasti, ia penuh dengan tauladan dan sempadan.

Semester satu Delta Year yang baru sahaja berlalu hanya meletakkan aku dalam keadaan serba salah yang tidak berkesudahan. Liku-liku yang terpaksa aku tempuhi tika itu adalah proses-proses yang berstatus gagal. Aku gagal untuk memaknakan perubahan yang besar buat diri dan persekitaran. Mungkin sahaja aku sendiri yang tidak memahami perubahan daripada angle mana yang aku inginkan; sehinggakan akhirnya, aku sendiri yang memusuhi perubahan yang ingin aku lakukan. Ustaz Najib sering mengulang-ulang ungkapan ini, “dalam hukum fiqh, manusia sering memusuhi perkara yang tidak difahaminya.”

Oh, mungkin disebabkan kedangkalan ilmu, aku gagal untuk memahami perubahan. Lantas, aku tetap statik. Dulu, kini dan selamanya (?) Aku tidak banyak berubah sepertimana yang aku inginkan walaupun sedang melalui sistem tarbiyah. Sedangkan tarbiyah itu akan melahirkan perubahan. Daripada akhlak buruk kepada baik. Daripada terhasut oleh ideologi-ideologi sempit kepada Islam yang luas. Daripada pentingkan diri sendiri kepada menghayati nilai ithar (pentingkan sahabat daripada diri sendiri). Daripada pemarah kepada penyabar, dan sebagainya.

Justeru, adakah sistem tarbiyah ini ada cacatnya? Ataupun mungkin aku sendiri yang gagal untuk menghayati nilai tarbiyah seadanya?

Nah, ternyata aku masih gagal memahami perubahan lantaran kefahaman yang masih kurang. Kata IR Ahmad Jais Alias, Kefahaman dan ilmu saling berkait. Ilmu yang difahami akan mudah untuk diamalkan. Kefahaman tanpa ilmu akan mengundang penyelewengan. Justeru, kita semua perlukan ilmu dan kefahaman dalam mengurus perubahan. Semakin besar perubahan yang ingin dilakukan, semakin banyak ilmu dan kefahaman yang kita perlukan. Apabila ilmu bertambah, kejahilan pasti berlalu.


Lain tempat, Lain Budaya

2007, Julai.

“Abang Firdaus, ana dah tak tahan dengan keadaan ni. Ana nak jumpa Anta secepat mungkin”, lebih kurang begitu bait ayat SMS yang aku hantar pada Abang Firdaus sejurus malam orientasi berlalu empat tahun lalu. Abang Firdaus merupakan senior yang aku kenal sewaktu awal-awal aku masuk ke kampus lagi. Dia merupakan bekas salah seorang Vice President 1 IU dan tink-tanker IU yang banyak menyumbang dalam percaturan IU keseluruhannya.

SMS yang aku hantar itu adalah komulasi rasa bimbang apabila aku sudah tidak tahan dengan angin perubahan yang begitu deras dan keras. Sekencang Tsunami, mungkin. Mana tidaknya, malam orientasi adalah show 1001 malam yang dihiasi dengan joget-joget dan tari-menari. Terdedah sana-sini. Ada yang menonggeng dan tertonggeng. Ditambah pula dengan keadaan dewan yang agak gelap, memungkinkan untuk terjadi operasi meraba dan teraba. Persepsi awal aku mula dibentuk, “Mungkin itu suasana biasa di sini.”

Aku mengambil keputusan untuk keluar daripada dewan.

Aku berhadapan dengan perubahan. Ya, perubahan waqi’. Daripada waqi’ confort-zone yang baik dan selesa kepada waqi’ yang penuh hedonisme yang menjanjikan kocakan pada prinsip dan nilai diri. Aku sering dipesan oleh sahabat-sahabat AJK Surau di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, KMPP, sewaktu aku ditaklifkan sebagai Rais Lujnah Dakwah dan Kefahaman Islam, “Amin, anta jangan terpengaruh dengan suasana, tetapi anta yang kene mempengaruhi suasana”. Nasihat ringkas itu aku pegang sebagai bekalan untuk merempuh waqi’ yang berbeza sejak hampir empat tahun dahulu hingga kini.


IU Sebagai Wasilah

Kerja dakwah adalah kerja mulia. Tanpa dakwah ajakan tidak akan berlaku dan seruan tidak akan menjadi. Dakwah bukan sekadar menjentik minda tetapi perlu menjentik hati. Kalimah dakwah bukan sahaja mengajar manusia berfikir tetapi membimbing manusia merasai kebenaran. Jalur dakwah adalah jalur terbaik membimbing manusia berubah.

Aku terlibat dalam dakwah dan tarbiyah dengan menjadikan IU sebagai wasilah dalam kampus, kerana aku percaya dalam IU, aku akan dipantau dan dijaga oleh senior-senior sebaiknya. Malah aku menanam azam untuk meneruskan kesinambungan senior-senior dalam proses untuk memberi. Aku juga yakin bahawa proses memberi lebih baik daripada menerima.

IU bukanlah sebuah organisasi yang begitu besar. Namun, keberadaanya dalam kampus sudah cukup untuk mewarnai sedikit sebanyak landskap kampus dengan nilai-nilai islamik.

IU menjadi salah satu platform kepada pelajar-pelajar yang ingin terus bergiat dengan nilai Islam.

Aku salah seorang daripadanya.

Bagi aku, IU adalah tempat paling baik untuk melengkapkan sebahagian proses hidup aku, iaitu memberi. Teringat suatu bait-bait ayat Ustaz Pahrol, “Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan untuk kita. Jangan menjadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, hakikatnya milik siapa?

Semua itu bukan milik kita…Segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Allah memberi untuk kita memberi.”


Jawatan : Taklif laa Tasyrif

Muktamar Sanawi 2010/11;

Bermula saat dan detik itu, aku secara rasminya memegang taklifan besar untuk terus mengemudi IU. Terasa diri ini sangat tidak bersedia dan tidak layak untuk sesuatu yang berskala besar.

Tapi, Alhamdulillah.

Dengan sedikit kesedaran dan kefahaman, Allah masih lagi tidak melemparkan rasa jemu untuk aku terus-menerus berada dalam IU dan saling bantu-membantu dalam menggerakkan platform mahasiswa Islam ini. Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian, cabaran dan mehnah tribulasi, aku mendoakan agar Allah memasakkan kaki ini untuk terus berada dalam jalan yang Dia redhai. Aku akan cuba yang termampu untuk memobilisasi platform ini sebaiknya kerana aku yakin yang meletakkan aku sampai ke peringkat ini bukan hasil keputusan syura dan senior-senior, tetapi atas ketentuan dan pilihan daripadaNya.

“Dalam kerancakan pemilihan kepimpinan hari ini, kita hendaklah menyedari bahawa kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan( tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ). Ini perlu dihayati dan dimuhasabahkan oleh kesemua bakal – bakal pemimpin”, aku memulakan bicara sewaktu menyampaikan kuliah lapangan ringkas kepada barisan tanzim dalam tamrin.

“Sebenarnya, terdapat dua perbezaan sikap yang ketara antara tasyrif dan juga taklif: “,

Aku menyambung, bunyinya lebih kurang begini,

“Pertama, orang yang menganggap kepimpinan adalah kedudukan dan tasyrif baginya akan berkeinginan kepada jawatan tersebut tanpa berfikir ia akan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang terpikul dibahunya dengan jawatan tersebut. Dia berbangga bahawa dia seorang berjawatan tinggi tanpa dia merasai bersalah dan gerun bahawa tanggungjawab yang dibebankan keatas bahunya itu nanti akan menyebabkan kehinaan dan penyesalan pada dirinya pada hari kiamat jika ia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

Kedua, manakala orang yang faham bahawa ia adalah taklif yang akan dipersoalkan pada hari akhirat, ia akan wara’ terhadap jawatan. Jika maslahah dan syura memutuskan, ia memegang jawatan ia akan bertanggujawab dan akan cuba melaksanakannya dengan besungguh-sungguh. Maka ia ambil dengan perasaan takut dan merasai muraqabah Allah s.w.t. Sewajarnya kita melihat kepimpinan bukanlah satu aset yang wajar dibanggakan, ada individu yang merasakan dirinya lebih daripada yang lain kerana jawatan yang disandang.”

Ya, jawatan yang aku sandang hari ini merupakan amanah yang akan ditanya satu persatu olehNya di Sana nanti. Aku tidak dapat gambarkan, kalau-kalau semua sahabat-sahabat tanzimku bergerak menuju syurga, tatkala aku masih tidak habis-habis lagi dipersoalkan dek amanah yang tidak aku pikul sebaiknya. Malah aku juga tidak dapat gambarkan, kalau-kalau aku hanya mampu terlantar di pintu syurga, lantas jatuh dibaham Jahannam !

Aku menyambung lagi,

“Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang tidak mampu ditunaikan. Islam mangajar kita melaksanakan sesuatu mengikut kemampuan dan kapasiti yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya akan tetapi akan ditanya kelak ialah MENGAPA TIDAK BEKERJA MENUNAIKAN AMANAH.”


Hikmah di Sebalik Kisah

Perlu ditegaskan bahawa kita mahu menyahkan fenomena budaya acuh tak acuh dengan gerak kerja dakwah. Aku ingin mengajak semua agar tidak rentung dalam dunia retorika yang hanya melaung tetapi tidak bertindak, bercakap tetapi tidak beraksi, mengkritik tetapi tidak konstruktif. Dakwah bukannya kata-kata keramat yang ada kuasa tersendiri, sebaliknya dakwah adalah praktikal, kerja, dan lebih banyak “memberi” dari “menerima”. Tiada guna dakwah jika tahu tetapi tidak mahu melaksana. Tiada guna juga mahu tetapi tidak mampu bertahan dengan karenah mad’u.

Kata Prof. Dr Sidek Baba, Cerita dakwah adalah cerita indah. Jalannya penuh liku dan cabarannya menuntut pengorbanan. Tidak ada yang lebih indah dalam kehidupan seorang pendakwah apabila dengan izin Allah orang yang didakwah berubah, daripada bersikap negatif terhadap Islam menjadi orang yang taat beragama. Daripada pemikiran sekular dan liberal kembali menghayati cara hidup Islam. Daripada menganggap Islam sebagai kolot dan ketinggalan zaman menjadi seorang yang cintakan ilmu Islam.

Prasyaratnya adalah wujud keikhlasan dalam diri, usaha yang tidak pernah kenal jemu, ilmu dan pengalaman yang harus di tingkatkan. Melihat setiap manusia ada potensi untuk didakwah dan yang terlajak ada jalan untuk kembali., maka mencari jalan terbaik untuk mengajak mereka kembali dengan keinsafan yang mendalam adalah tugas seorang dai. Kerja dakwah adalah tugas aku. Pemberi hidayah adalah kerja Allah. Apabila orang tidak berubah, caraku mungkin tidak kena. Orang tidak harus dipersalahkan. Dan, putus asa tidak perlu ada dalam diri.

Pendakwah mesti yakin risalah yang dibawanya adalah untuk kebaikan manusia. Selagi prinsip ini menjadi tunjang seorang dai dan murabbi, gerak kerja dakwah akan subur dan Islam akan terus bangkit membawa perubahan.

13 Oktober 2010,

7.15 pagi,

Selepas makan nasi goreng mama,

Bilik aku,

Teratak 101, Peringat, Kelantan.

Nota : Nukilan ini hanya luahan citraku yang penuh khilaf. Sekadar menulis untuk menjadi memoir kenang-kenangan suatu hari nanti. Menulis bukan untuk memberitahu, tetapi mencetuskan mahu dan mampu. Dan, aku bukanlah orang yang sebaiknya, tetapi salahkah aku untuk cuba menjadi orang yang terbaik?