Sayyid Qutb rela mati membela tauhid
5:20:00 AM | Author: Nik Muhammad Amin
Sayyid Qutb rela mati membela tauhid
Oleh Ibrahim Abdullah

SEORANG pejuang menegakkan kalimah tauhid, Sayyid Qutb, kembali ke rahmatullah 41 tahun lalu. Tokoh dilahirkan pada 9 Oktober itu adalah penulis kitab Fi Zilal Al-Quran, Ma'alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din.

Tiga buku itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan Malaysia, serta mendapat sambutan hebat di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Memang ada perbahasan mengenai metod Sayyid Qutb dalam tulisan yang tegas menyatakan kesesatan masyarakat moden berkaitan penghakiman yang tidak merujuk kepada Allah. Bagaimanapun sejarah Sayyid Qutb perlu diulas sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang tokoh yang rela mengorbankan diri untuk membela tauhid yang diyakini kebenarannya.

Sayyid Qutb gugur di tiang gantungan pada 20 Ogos 1966. Ia dikenali sebagai tokoh yang berjuang di jalan Allah, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Seorang mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Ia persembahkan nyawa yang murah kepada keyakinan dan akidahnya.

Beliau melalui bertahun usia terakhir di penjara. Ia tuangkan jiwa dan fikiran yang luar biasa dalam lembar tulisan tangannya dengan untaian kata penuh makna dan bernilai sastera. Hampir semua orang yang membacanya, akan rasa getar hati nurani dan fikirannya.

Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama. Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia tujuh tahun, ia mula menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.
Awal dekad 1940-an, satu era baru bermula dalam kehidupan Sayyid Qutb. Dalam karya pada 1939, beliau mulai menulis beberapa siri At-Taswir Fanni Fi Quran. Tulisan ini mengupas indahnya seni yang ada dalam ayat al-Quran.

Pada 1945, beliau menulis kitab Masyahidul Qiamah Fi Quran yang isinya menggambarkan peristiwa hari kiamat dalam al-Quran. Pada 1948, Sayyid Qutb menghasilkan Al-Adalah al-Ijtima'iyyah Fi Islam atau Keadilan Sosial dalam Islam, menyatakan bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila masyarakat menerapkan sistem Islam.

Fasa terakhir perjalanan Sayyid Qutb bermula pada 1951, waktu beliau mula bergabung dengan Jama'ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.

Sayyid Qutb bergabung bersama al-Ikhwan al-Muslimun, dua tahun selepas meninggal Imam Hassan al-Banna, pelopor al-Ikhwan pada 1949. Mereka tidak pernah bertemu muka meskipun dilahirkan tahun yang sama 1906 dan mendapat pendidikan di Darul Ulum.
Walaupun begitu, mereka mempunyai kesatuan jiwa dan persamaan orientasi berfikir. Sebelumnya, ketika Hassan al-Banna membaca buku Al-'Adalah al-Ijtima'iyyah Fi Islam karya Sayyid Qutb, dia menganggap pengarang adalah sebahagian daripada Al-Ikhwan. Lalu, Al-Banna menyatakan bahawa 'orang ini' (Sayyid Qutb) tidak lama lagi akan bergabung bersama Al-Ikhwan.
Sayyid Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Kematian al-Banna sangat terasa dalam jiwanya, walaupun belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan menyayat hati ketika dirawat di sebuah hospital di Amerika.

Disebabkan orang Amerika bergembira menyambut berita kematian al-Banna, selepas pulang dari Amerika, Sayyid Qutb mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Seterusnya ia pun memutuskan untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Pesan utama Sayyid Qutb yang ditekankan dalam tulisan adalah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya, inti tauhid Uluhiyyah adalah hak Allah daripada sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri (pembuatan peraturan).

Beliau berkata, ikrar syahadah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumi-Nya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hak-Nya.

Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir melarang al-Ikhwan al-Muslimun dan pimpinannya ditangkap kerana dituduh hendak merampas kuasa. Tanpa bukti yang jelas, tujuh pemimpin tertinggi al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hassan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948.

Tetapi hukuman terhadap Hassan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Sayyid Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada 1964, Sayyid Qutb dibebaskan atas permintaan peribadi Presiden Iraq, Abdul Salam Arif tetapi pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan itu. Selepas Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat, Sayyid Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya.

Alasannya beliau dituduh hendak merampas kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku Sayyid Qutb terutama Ma'alim Fi Tariq, yang menyatakan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan syariat Allah.

Sayyid Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Sayyid Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta Sayyid Qutb menulis pernyataan memohon ampun supaya ia dibebaskan.

Bagaimanapun Sayyid Qutb dengan tegas menjawab: "Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran, aku reda. Jika aku dipenjara kerana batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan."

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb digantung bersama sahabat seperjuangannya, Muhammad Yusuf Hawwasy dan Abdul Fatah Ismail. Dunia Islam kehilangan salah seorang pejuangnya yang berani mempertaruhkan nyawanya untuk membela kalimah tauhid.

PROFIL

Sayyid Qutb
• Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama.
• Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut.
• Pada usia tujuh tahun, ia mula belajar menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.
• Pada 1951, beliau bergabung dengan Jama'ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.
• Maut di tali gantung 20 Ogos 1966.
• Tiga karya besar adalah Fi Zilal Al-Quran, Ma'alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din. Karyanya menjadi rujukan umat Islam.